
KOTA BHARU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan memutuskan supaya semua kontak rapat satu rumah dengan kes sah Covid-19 dipakai gelang kuarantin untuk tempoh 14 hari daripada tarikh akhir pendedahan kes tersebut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, pemakaian gelang itu akan dilakukan segera tanpa menunggu pengambilan sampel Covid-19.
Katanya, ia selaras dengan Seksyen 15(A), Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021) dan bertujuan untuk menyekat segera pergerakan individu setelah mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat kes sah.
“Pemotongan gelang kuarantin akan dilakukan pada hari ke-14 dari tempoh akhir pendedahan kepada kes sah.
“Pernyataan ini bertujuan untuk memaklumkan strategi dalam melandaikan keluk Pandemik Covid-19 di Kelantan ekoran peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan memantau status kesihatan diri.
“Sila dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala. Terus berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar,” kata Dr Zaini. – HARAKAHDAILY 30/5/2021











