
KOTA BHARU: Kerajaan belum ada keputusan berhubung cadangan mengenakan kompaun ke atas individu yang gagal hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan masih berpegang kepada dasar suntikan itu percuma dan diambil secara sukarela.
“Kita ada jawatankuasa khas di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengendalikan isu vaksin berkenaan. Bagaimanapun, kita dukacita kerana ramai penduduk gagal hadir terutama di Kelantan yang jumlahnya begitu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengagihan sumbangan kepada penerima vaksin peringkat Parlimen Kota Bharu di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha perlu dilakukan supaya tidak berlaku pembaziran dos vaksin menerusi kaedah tertentu antaranya dapat digantikan dengan orang lain.
Beliau bagaimanapun berkata, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas golongan antivaksin yang dikesan cuba menghasut orang ramai daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, golongan terbabit boleh dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948.
“Selain Akta Hasutan, kita juga mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang di bawah Ordinan Darurat 2021.
“Kita tidak perlukan undang-undang baharu, boleh guna undang-undang sedia ada yang sudah memadai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap anggota masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat berbentuk provokasi berhubung pandemik Covid-19.
Katanya juga, ketika kerajaan berdepan pandemik Covid-19, diharap masyarakat tidak timbulkan suasana tidak tenang apa lagi menyebarkan pelbagai maklumat palsu dan boleh menjejaskan keamanan.
“Itu nasihat kerajaan dan sekiranya ada yang masih engkar, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya sebagai pilihan terakhir jika keadaan tidak terkawal,” katanya.
Mengikut laporan sebelum ini, cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibincangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF). – HARAKAHDAILY 30/5/2021











