Tidak boleh tamat darurat dalam keadaan sekarang

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Desakan pihak tertentu supaya kerajaan menamatkan perintah darurat perlu diteliti dengan cermat memandangkan pandemik Covid-19 masih lagi menular.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, penamatan proklamasi darurat tidak boleh dilakukan dalam keadaan sekarang.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sepatutnya diadakan pada bila-bila masa juga ditunda bagi mengelakkan perebakan wabak.

- Advertisement -

“Hanya darurat yang dapat menghalang PRN daripada berlaku. Biarlah Majlis Penasihat Darurat yang dilantik dalam kalangan profesional dan ahli politik menjalankan tanggungjawab demi keselamatan dan kemaslahatan negara dan rakyat.

“Namun begitu setiap wakil rakyat sama ada di peringkat Dun dan Parlimen masih boleh terus berperanan mengekang pandemik Covid-19 daripada terus merebak di samping cakna kebajikan rakyat,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini pembangkang dan ahli parlimen Umno mendesak diadakan persidangan parlimen bagi membahaskan isu serangan zionis Israel terhadap Palestin dan wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Amanah Dato’ Seri Salahuddin Ayub dilapor berkata, pembangkang tidak akan membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri, sebaliknya memfokus dua isu terbabit.

Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan pula memberitahu persidangan khas parlimen wajar diadakan membincangkan isu Palestin.

Abdullah juga berkata, jumlah kes Covid-19 di Johor yang semakin meningkat dengan bertambah kes-kes sporadik memberi gambaran keseriusan perebakan Covid-19.

Begitu juga katanya kes-kes kluster masjid dan surau bertambah.

“Pada 19 Mei Johor mencatatkan bilangan jangkitan yang paling tinggi iaitu 699 kes positif.

“Oleh itu PAS Johor mencadangkan dan menyokong sebarang cadangan untuk Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara menyeluruh di negeri Johor secepat mungkin.

“Namun sekiranya ia masih dalam pertimbangan, maka PAS Johor mencadang kempen menyeluruh menggalakkan kawalan berkurung kendiri perlu dilakukan dengan segera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -