PAS diyakini mewakili Palestin di Malaysia

- Advertisement -

SASARAN awal PAS mengumpulkan RM1 juta untuk bantuan Palestin jauh melepasi sasaran. Ternyata sebuah negeri sudah mampu melepasi angka tersebut dalam tempoh lima hari. Malah sehingga dua hari lepas iaitu 18 Mei sudah dua negeri melepasi target PAS Pusat.

Kesungguhan dan komitmen PAS membantu Palestin bukan baru. Ia kerja berterusan sejak dulu. Hubungan antara pimpinan PAS dan pimpinan Palestin khasnya HAMAS sangat erat. Presiden PAS sentiasa menjadikan Palestin sebagai agenda ingatan beliau dalam kebanyakan ucapan peringkat Antarabangsa. 

- Advertisement -

Ahli PAS tidak canggung menyumbang untuk Palestin kerana ia dilakukan saban tahun walaupun di luar krisis dan serangan Israel. Di saat seluruh dunia berdepan krisis ekonomi termasuk Malaysia, sasaran sejuta PAS Pusat sangat relevan namun roh jihad yang ditiupkan sekian lama dalam PAS ibarat kembali marak apabila seruan dibuat ibarat hembusan angin pada bara jihad yang tak pernah padam.

Apabila PAS melancarkan kempen kutipan sumbangan Palestin, muncul kecemburuan beberapa pihak termasuk mempertikaikan ketelusan PAS. Saya menjangka orang di luar PAS mungkin terkesan apatah lagi turut dijaja kenyataan wakil Palestin Malaysia kononnya tidak menerima sumbangan tersebut.

PAS memilih menyampaikan secara langsung kepada wakil Hamas yang menjadi rakan politik dan perjuangan PAS. Bukan wakil yang selain Hamas yang mewakili perjuangan rakyat Palestin. Tindakan konsisten dan telus PAS ini rupanya sangat meyakinkan pelbagai pihak.

Angka lima juta itu masih awal berbanding 30 Mei yang diletakkan sebagai tarikh akhir. Ia juga belum mengambil kira beberapa negeri lagi. Keyakinan rakyat kepada ketelusan dan kesungguhan PAS memperjuangkan Islam adalah asas kepercayaan itu. Ia tanda harapan rakyat kepada PAS sangat tinggi sekalipun dilingkari fitnah jahat.

Apakah PAS boleh mencapai angka sepuluh juta ringgit sehingga 30 Mei? Ia tidak mustahil namun setiap kita mesti berperanan. Ia bukan kerja sia-sia atau percuma. Ia kerja yang dijanjikan pahala yang tinggi nilainya. Ia jihad yang mampu bagi kita.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -