Hak PAS berkawan dengan sesiapa sahaja

- Advertisement -

SUHU politik Malaysia tidak pernah reda. Belum selesai satu isu meletus pula isu yang baru semuanya menggamatkan lagi suasana yang sedia kalut yang kadangkala merimaskan sehingga memungkinkan ramai yang mula meluat dan muak dengan karenah orang-orang politik.

Perhimpunan Agung Umno 2020 baru sahaja selesai yang menyaksikan isu hubungan antara parti berkenaan dengan PPBM atau BERSATU mendominasi perbahasan. Untuk kesekian kalinya rakyat melihat penentangan keras Umno terhadap BERSATU, dan malah Presiden BERSATU pun dalam salah satu komennya terhadap perhimpunan ini memaklumkan jika Umno-BN mahu bertanding di semua kerusi, BERSATU pun bersedia berbuat demikian.

- Advertisement -

Ironinya Umno dan BERSATU berpatah arang berkerat rotan, PAS pula yang tersepit dan didesak membuat pilihan. Malangnya dalam kehangatan kemelut ini kita seakan terlupa bahawa rakyat di luar termasuklah para penyokong dan simpatis kita sedang asyik menyaksikan segala yang berlaku. Mereka inilah yang nanti akan keluar mengundi membuat keputusan, apakah agaknya penilaian mereka terhadap kita dalam keadaan kita bersengketa dan bertelagah sesama sendiri secara terbuka ini?

Mampukah kita memenangi hati mereka kiranya kita dilihat gagal menguruskan rumahtangga sendiri, bertelagah tetapi mahu mengajak orang kepada perdamaian? Umno mungkin keterlaluan, bersikap mementingkan diri dan kelompok sendiri, namun mustahil semuanya salah Umno belaka. Demikian juga BERSATU, ia mungkin punya asas dan justifikasi namun BERSATU pun bukan semuanya benar belaka. Kedua-duanya punya kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Demikaianlah Umno dan BERSATU yang masing-masing punya sejarah dan pengalaman sesama mereka, soalnya bagaimana pula dengan PAS? Jika penyatuan dan perpaduan ummah menjadi fokus dan keutamaan PAS, menyelamatkan agama dan bangsa serta negara yang lebih penting maka PAS lah yang perlu bangkit dengan berani dan matang mendepani dan mengurus perbalahan antara kedua parti ini agar tidak terjejas atau terbengkalai usaha membina kesatuan ummah tadi.

Ingat di luar sana juga, musuh politik kita yang luka parah setelah rumah yang mereka bina hancur musnah dan kita gantikan dengan rumah baru atas runtuhan mahligai mereka, sedang bersedia untuk menerkam dan melompat kembali untuk mendapatkan kuasa yang terlucut dari tangan mereka itu. Mereka sentiasa lapar menantikan peluang, jangan nanti lantaran persengketaan sesama kita, kaduk yang telah sebelum ini kita ranapkan dapat kembali bermaharajalela menaiki junjung.

PAS yang komited untuk meneruskan perjuangan mengukuhkan perpaduan ummah demi menyelamatkan negara perlu bijak mencari jalan penyelesaian yang boleh menjayakan usaha ini dan atas itu PAS perlu terbit dengan pendiriannya yang jelas terhadap kedua-dua Umno dan BERSATU. 

Dalam memikul tugas ini PAS tidaklah boleh dilihat cenderung atau menyebelahi satu-satu pihak semata-mata, tetapi perlu berlaku adil, kerana matlamat akhir adalah menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam negara sehingga ia dominan dan unggul.

Kerana itu apabila bangkit desakkan agar PAS membuat keputusan memilih sama ada inginkan bersama Umno atau BERSATU, PAS perlu bertegas bahawa ia konsisten berjuang ke arah penyatuan ummah, sebagaimana satu tuntutan dalam Islam, dan dalam isu ini PAS bukannya mahu membuat pilihan tetapi sebenarnya PAS menerima kedua-duanya demi mengerakkan perjuangan keramat tadi.

Jika benar Umno dan BERSATU memandang isu penyatuan ini sebagai suatu gagasan yang dituntut oleh Allah S.W.T maka mereka sewajarnya memahami sikap dan pendirian PAS lantas mengizinkan PAS berperanan sebagai moderator dan pendamai, sebagai jambatan yang menghubungkan antara kedua parti, jika pun mereka tidak dapat bersama secara langsung sekurang-kurangnya jambatan tadi dapat berdiri kukuh sebagai pengimbang dan pendamai dalam erti kata lain kesatuan tadi mampu terbina juga yang mampu mengelakkan pertembungan sesama sendiri sekali gus menghancurkan masa depan PH yang dikuasai DAP.

PAS jangan sama sekali terpesona atau melayan pujukan yang menyimpang dan boleh membawanya tersasar dari matlamat asal. Sedarlah bahawa gagasan penyatuan ummah yang menyatukan umat Melayu Islam ditunggu-tunggu seluruh negara khasnya oleh rakyat jelata di kalangan orang-orang Melayu Islam. Sudah terlalu lama mereka menanggung rugi apabila berbeza pandangan dan sikap sesama mereka hasil gerakan parti-parti ini sehingga tidak menguntung mana-mana pihak.

PAS bukannya sengaja mahu meletakkan kakinya di dua daratan, tetapi melakukan demikian dengan tujuan mengelakkan pecah belah sesama ummah, Jika Umno dan BERSATU sudah tidak boleh bertentang mata, demi mengelakkan perbezaan yang merugikan umat Melayu Islam maka biarlah PAS meletakkan kakinya sedemikian rupa. Usaha murni ini sewajarnya dilihat sebagai sesuatu yang positif yang akan membantu ke arah membina permuafakatan kuasa politik Melayu yang cukup digeruni oleh kawan apatah lagi lawan.

Umat Melayu Islam sudah cukup derita di bawah 22 bulan pemerintahan PH. Peristiwa pahit ini berlaku apabila parti-parti politik Melayu tidak dapat duduk semeja dan bermuafakat, masing-masing mempromosi kelompok masing-masing dan menyerang pula kelompok yang berbeza. Cukuplah kita berbalah sebegitu rupa, jangan lagi kita ulangi kesilapan yang sama, serik dan insaflah jika tidak tergolok gadailah masa depan anak-anak bangsa dan negara. Sukar sangatkah memahami hakikat ini?

Sebagaimana Umno dan BERSATU masing-masing punya hak memutuskan hubungan sesama mereka lantaran perbezaan yang tidak dapat dielakkan, mengapa mahu paksa PAS membuat pilihan dan memutuskan dengan siapa ia mahu berkawan dan berpakat. Sebagaimana mereka, PAS juga berhak berkawan dengan kedua mereka malah dengan siapa sahaja kerana mahu melangsungkan misi yang dinyatakan. Umno tidak sakit dan BERSATU tidak seinci pun rugi jika PAS memilih untuk berkawan dengan kedua mereka.

Kita mengharapkan atas inisiatif PAS, segala bentuk perundingan antara PAS dan Umno serta PAS dan BERSATU dapat dijalankan dengan penuh lancar. Bermuafakatlah secara sivil dan matang dalam isu pembahagian kerusi menjelang PRU ke-15 ini. Kita mahu menang, bukan sekadar menang dengan majoriti mudah, tetapi kita berazam untuk memperolehi keputusan majoriti dua pertiga agar banyak isu dan perkara yang menyentuh nasib dan masa depan umat Melayu dan Agama Islam khasnya dapat dilaksanakan. Teruslah PAS berusaha semoga kejayaan milik kita semua PRU15 nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -