PAS kekal bersama PN dan mahu perkasa MN

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS kekal dengan pendirian untuk terus mengukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama BERSATU sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional dengan Umno.

Menyifatkan Kerajaan PN masih kukuh, Presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kemelut Umno-BERSATU hanyalah isu dalaman sebuah keluarga yang boleh diselesaikan.

“Umno parti Melayu, BERSATU parti Melayu dan PAS juga parti Melayu, kita utamakan perpaduan Melayu Islam dahulu dan dalam masa sama menyedari masyarakat majmuk mesti bersatu bersama dengan kita.

- Advertisement -

“Jadi urusan Umno, BERSATU dan PAS adalah urusan dalam rumah kita, kadang-kadang orang dengar kita bising-bising itu (sebenarnya) kita nak alih perabot sahaja, insya-Allah akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama Peladang Kawasan Muda di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata ketika ini tidak ada sebuah parti yang mampu membentuk kerjasama lain bagi menggantikan PN.

“Semua parti politik tidak boleh tubuh kerajaan, tidak ada parti yang mampu jadi kerajaan, Umno tidak boleh terima DAP, DAP tidak boleh terima Umno.

“(Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air) Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak boleh terima (Presiden PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Anwar tidak boleh terima Tun Dr Mahathir, maka PN kukuh kerana parti lain tidak mampu tubuh kerajaan,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata perbincangan bersama Umno dan BERSATU masih belum muktamad walaupun ada pihak mendakwa sebaliknya.

Selagi tarikh PRU15 belum ditentukan, maka perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan terus dilakukan bagi disesuaikan mengikut keadaan semasa, katanya, menambah PRU tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat berikutan penularan COVID-19 selain bencana banjir yang melanda beberapa negeri sekarang.

Sementara itu lapor Astro Awani keputusan mengenai pembahagian kerusi membabitkan tiga parti itu menerusi dua gabungan tersebut masih belum dapat dimuktamadkan selagi tarikh sebenar PRU15 tidak diumumkan.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan, setakat ini sebarang pengesahan mengenai pembahagian kerusi membabitkan PAS belum dapat dibuat kerana pertukaran serta perubahan masih boleh dilakukan sebelum tarikh sebenar dimuktamadkan kelak.

“Pilihan raya tidak tahu lagi bila, tahu pilihan raya barulah kita dapat selesaikan, in sya Allah bila tahu pilihan raya kita akan dapat tentukan (pembahagian kerusi). Perkara itu boleh berubah, saya tidak boleh beritahu sekarang.

“Boleh adjust (ubah) lagi mana perlu, tukar tukar sini mana perlu, belum muktamad lagi, tetapi kita buat keputusan (untuk) serah (proses perundingan pembahagian kerusi) kepada (PAS) Pusat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menegaskan bahawa pelaksanaan PRU15 dalam tempoh terdekat amat tidak sesuai terutama ketika negara menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

Time (waktu) ini tidak wajar, masih ada (kes-kes berkaitan) COVID-19, banjir (pula) tidak tahu lagi hendak atasi, mangsa banjir pun tidak (dapat) selesai (masalah mereka) lagi, biar selesai semua (perkara ini) baru boleh kita fikir (untuk adakan) pilihan raya,” katanya lagi.

Sabtu lalu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan bahawa Umno sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama PAS dan akan bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen dalam PRU15.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendakwa bahawa keputusan berkenaan telah diumumkan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding sebanyak 96 kerusi pada PRU15.

Nazri berkata, Umno juga tidak akan memberi ruang kepada BERSATU untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi Umno pada PRU14 lalu.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan rundingan agihan kerusi bagi PRU15 antara parti masih dalam rundingan bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -