KIAS dapat taraf Kolej Universiti selepas 10 tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas kira-kira 10 tahun berusaha akhirnya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mendapat taraf Kolej Universiti.

Sijil naik taraf KIAS kepada Kolej Universiti disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad kepada anggota Exco kerajaan Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan hari ini.

Sehuungan itu, Mohamed Fadzli merakam ucapan tahniah kepada Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Abdul Aziz Mohd Zain dan seluruh warga pusat pengajian tersebut.

“Setinggi penghargaan juga kepada Dr Noraini dan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Prof Dato’ Dr Husaini Omar dan seluruh warga KPT.

- Advertisement -

“Penghargaan tersebut daripada kerajaan negeri Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan,” katanya pada lontaran di media sosialnya.

KIAS ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (1996) (Akta 555) dikendalikan KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Akademi Yakin Sdn Bhd.

Penubuhan KIAS sebagai kesinambungan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri yang ditubuh pada 1965.

Ketika itu YPTIK menerima pelajar dari seluruh negara dan rantau nusantara termasuk Thailand sebelum mereka melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar Mesir.

Bagaimanapun kegemilangan YPTIK hilang selepas diserapkan ke Universiti Malaya dan dikenali sebagai Akademi Islam Universiti Malaya pada 1 April 1981 oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pertukaran itu berlaku selepas kerajaan yang diterajui PAS di Kelantan tumbang pada Pilihan Raya Umum 1978.

Bagaimanapun selepas berjaya mentadbir semula Kelantan pada 1990 usaha mengembalikan kegemilangan YPTIK diusahakan dengan menubuh Maahad Dakwah Wal Imamah pada 1994.

Usaha itu dirintis Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kemudian pada 24 Ogos 1999 Maahad Dakwah Wal Imamah distruktur semula dan dikenali sebagai KIAS.

KIAS pada peringkat awal menawarkan tiga program pengajian diperingkat Diploma iaitu Diploma Al-Syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah.

Sehingga lebih 10 program diploma ditawarkan KIAS di samping program Ijazah Sarjana Muda dengan kerjasama beberapa universiti lain. Semua program yang ditawarkan KIAS diiktiraf Kerajaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -