Neelofa terima anugerah Hari Sayyidatina Khadijah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selebriti kelahiran Kelantan Noor Neelofa Mohd Noor mendahalui penerima anugerah sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah.

Artis terbabit antara 14 wanita yang tersenarai menerima anugerah tersebut hari ini. Neelofa tidak hadir, difahamkan ada di Langkawi selepas melangsungkan perkahwinan Sabtu lepas.

Wakil keluarganya juga tidak hadir menerima anugerah yang sepatutnya disampaikan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

- Advertisement -

Noor Neelofa yang merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik menerima anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith (Influencer).

Dalam pada itu seorang wanita Orang Asli dari Pos Tuel Gua Musang, Andak Anjang, 44 dianugerah Tokoh Khas Wanita Orang Asli.

Andak ketika ditemui berkata, terharu selepas diberitahu dipilih sebagai penerima anugerah Hari Sayyidatina Khadijah tahun ini.

“Saya dipilih oleh Penghulu Orang Asli selepas melihat saya aktif mengadakan program dakwah bersama dengan penduduk Orang Asli di perkampungan tersebut.

“Saya turut dibantu suami Abdul Razak Amat, 52 ketika mengadakan program dakwah bersama penduduk kampung,” katanya.

Andak seorang wanita yang peramah dan ringan tulang dalam membantu masyarakat terutama bagi mereka memerlukan bantuan untuk mengadakan satu-satu majlis keraian.

Beliau menerima sijil, plak, dinar, kitab tafsir Al Azhar, keronsang, selempang, hamper, persalinan kain batik, sejambak bunga dan produk.

Sementara itu Siti Zailah berkata, program sambutan Hari Sayyidatina Khadijah dianjurkan bertujuan mengangkat dan memperkasakan wanita di Kelantan.

Katanya, ia simbolik kepada pencapaian wanita negeri itu dalam pelbagai bidang dengan mendepani cabaran semasa.

“Kementerian juga merangka kerjasama strategik dengan pelbagai pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk menyediakan sumber dan peluang lebih banyak kepada wanita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -