Wanita main peranan desak keluarga daftar vaksinasi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kesal tahap pendaftaran vaksinasi Covid-19 yang masih berada tahap sangat rendah iaitu 30.21 peratus.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, berdasarkan rekod pendaftaran vaksinasi oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Kelantan sehingga 29 Mac lepas mencatat sebanyak 216,568 orang atau 17 peratus.

Katanya pendaftaran vaksinasi selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu rakyat sama-sama menjayakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan iaitu Program Pemerkasa Komuniti.

- Advertisement -

“Kaum wanita boleh memainkan peranan memastikan diri sendiri, suami, ibu bapa, anak-anak masing-masing untuk membuat pendaftaran vaksinasi dengan segera.

“Ia sangat penting sebagai ikhtiar kita untuk menang dalam menghadapi cabaran Covid-19,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi, isteri Menteri Besar Datin Zabidah Abdul Hamid dan Adun Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

Sementara itu, Mumtaz berkata, HKS 2021 menampilkan kelainan daripada program sebelum ini melalui pelaksanaan program normal baharu dengan pemberian anugerah tambahan iaitu Anugerak Khas Wanita Orang Asli, Anugerah Khas Wanita Bukan Islam, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Jasamu dikenang.

Seramai 94 menerima anugerah tokoh dan ikon di peringkat Dun, Parlimen dan negeri sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -