Lompat parti: PAS beri amaran kepada Guan Eng

Senator Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad memberi amaran kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak menyamakan isu lompat parti dengan larangan dalam Islam membabitkan murtad.

Katanya, adalah tidak boleh disamakan orang yang lompat parti dengan larangan murtad dalam Islam yang sememangnya sudah sedia ada.

“Saya nak bagi amaran dan peringatan kepada Lim Guan Eng, jangan samakan undang-undang lompat parti dengan soal membabitkan akidah Islam… murtad.

“Dalam hal ini (murtad) sudah sedia ada dalam undang-undang (Islam). Kalau nak buat perbandingan pun, kenapa undang-undang kes terowong ada? Kenapa pula (undang-undang) lompat parti tidak ada? Yang tu boleh buat perbandingan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian bagi menjawab Guan Eng yang mempersoalkan Islam tidak dibenarkan murtad, kenapa dalam politik boleh dibenarkan melompat parti.

Isnin lalu, Guan Eng membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan yang mengatakan tindakan lompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Idris turut mempersoalkan kenapa sekarang Guan Eng bersungguh bercakap isu lompat parti sedangkan selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan tidak pula dibangkitkan isu itu.

Malahan, katanya isu lompat parti membabitkan Adun Umno PH sehingga terbentuknya kerajaan negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak pula dipersoalkan.

“Saya nak persoalkan kenapa hari ini kamu (Guan Eng) nak bercakap soal lompat parti? Ketika pembentukan kerajaan perak selepas PRU14, PH dapat 27 kerusi, Umno-BN (27), PAS (3) waktu itu tidak dapat bentuk kerajaan tetapi apabila dua Adun Umno lompat masuk PH memberi sokongan kepada pelantikan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, kenapa masa itu kamu tidak timbul soal integriti dan undang-undang?

“Selama 22 bulan kamu dalam kerajaan tidak pula bangkit soal untuk mengadakan undang-undang anti lompat parti. Kenapa tidak ada usaha begitu?

“Apabila dah kena atas batang tubuh sendiri baru kamu nak sibuk. Tak apa lah kamu nak marah soal lompat parti, itu hak kamu tetapi jangan nak samakan kes itu dengan orang yang murtad,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengharapkan alim ulamak dan asatizah dalam PH serta penasihat agama DAP supaya menegur Guan Eng agar tidak menyamakan soal akidah Islam dengan isu lompat parti.

“Kita harapkan adalah ustaz, ulamak dalam PH atau penasihat agama kepada DAP ini tolong bagitahu kepada Guan Eng, jangan nak samakan soal murtad dengan lompat parti.

Dalam pada itu, beliau turut meninggalkan pesanan sinis dalam bentuk pantun empat kerat yang berbunyi:

Pokok salak banyak duri,
Ketika ambil buah perlu berhati-hati;
Bila kena parti sendiri,
Baru nak cakap soal integriti.
– HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -