Penglibatan wanita perlu diperhebat – MCM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (MCM) menyifatkan golongan wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi bagi memastikan kelancaran dan perkembangan prestasi organisasi berkenaan.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, ini kerana pihaknya juga mengambil peranan kaum hawa dalam pertubuhannya, kira-kira 50 peratus daripadanya adalah golongan wanita.

Katanya lagi, mengambil kira peranan wanita juga antara misi MCM iaitu menyemai dan membina generasi pelapis dan relawan kompeten yang menghayati nilai-nilai bersama dan budaya MCM seperti kesepaduan, kesetiaan, integriti dan profesionalisme.

- Advertisement -

“Selain daripada ingin membebaskan manusia daripada kemiskinan, kejahilan dan kemusnahan melalui usaha-usaha intervensi yang menyeluruh.

“Kami ingin mengajak para wanita dan semua masyarakat bersama-sama kami membuat kerja-kerja dakwah dan kebajikan sekali gus dapat membawa mereka yang bukan beragama Islam melihat agama ini secara lebih dekat,” ujarnya.

Katanya lagi, ramai relawan MCM terdiri dalam kalangan wanita berprofesion doktor dan guru daripada sektor kerajaan dan awam.

“Kebanyakan mereka sangat berpengalaman dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan sesuatu kes ad hoc seperti menjalankan pembedahan mengeluarkan peluru daripada badan seorang pelarian yang ditembak tanpa sebarang suntikan, hanya air sejuk dan doa-doa syifa’,” katanya

Beliau berkata demikian dalam satu forum khas sempena sambutan Hari Wanita 2021 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), secara dalam talian, hari ini.

Forum tersebut juga dihadiri beberapa panel iaitu Pegawai Psikologi, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Dr Wan Nurayunee Wan Zulkifli, Sister Sabaria Foundation, Sabariah Hussein, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan dan Naib Pengerusi, Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA), Norraini Hussin selaku moderator.

Muslim Care Malaysia (MCM) yang ditubuhkan pada tahun 2006 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertapak di negara dan luar negara bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh dunia.

Menurut Zulkifli, selama 15 tahun MCM ditubuhkan, pihaknya telah berjaya membina 15 masjid dan pusat-pusat Islam di seluruh dunia di 11 buah negara termasuk negara Eropah, Asia, Timur dan Timur Tengah.

Bermula Mac 2020 sehingga kini, pihaknya telah memberikan bantuan di lebih 300 tempat di seluruh Malaysia dan membina 24 buah rumah kepada penduduk paling daif di negara ini dalam tempoh pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun, bantuan di luar negara masih berjalan meskipun pandemik Covid-19 seperti di negara Syria, Palestin, Afrika dan Jepun.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihaknya akan menghantar 1,000 bakul bantuan ke Tawau dan Semporna dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, pembinaan masjid kedua di Gaza akan dijalankan iaitu Masjid al-Bayan dan pembinaan Maahad al-Itqan akan ditambah di Nigeria bagi keperluan murid beragama Islam di sana.

“Kalau mereka tak dapat masuk ke sekolah agama maka mereka terpaksa mendaftar di sekolah-sekolah Kristian, jadi ada di antara mereka yang terpesong akidah akibat terpengaruh dengan ajaran agama lain,” kata Zulkifli. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -