
BELAJARLAH dari sejarah umat Islam yang berulang. Bertelingkah akan membawa kepada perpecahan. Dengan berpecah, kita akan menjadi lemah. Apabila kita lemah, kita akan dikuasai oleh musuh yang menunggu peluang untuk menghancurkan kita. Pengajaran yang paling hebat ialah dengan merenung ayat-ayat al-Quran. Allah S.W.T berfirman:
وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفۡشَلُوا۟ وَتَذۡهَبَ رِیحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
(al-Anfal: 46)
Menurut Imam al-Tabari R.H, ayat ini mengisyaratkan agar orang-orang beriman mentaati Allah dan RasulNya dengan mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya dan jangan menyanggahinya pada suatu apa pun.
Jangan bertelingkah! Nanti kita akan menjadi lemah kerana berpecah belah dan tidak bersatu hati. Kita tidak mahu ada yang menjadi penakut kerana hilang kekuatan daripada penyatuan ummah. Apa yang menariknya ialah, dalam ayat ini Allah S.W.T menggunakan ungkapan ‘wa tazhaba riihukum’ yang memberikan gambaran bahawa ‘angin tidak bertiup mengikut arah kamu.’
Ertinya kamu hilang kekuatan kerana pertolongan Allah tidak turun kepada kamu lantaran bertelingkah dan berpecah belah. Di hujung ayat tersebut Allah S.W.T menunjukkan penawar kepada masalah ini, iaitu dengan bersabar. Kerana sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang bersabar.
Jika ada antara kita yang mula sakit hati sesama sendiri, bantu hentikan mereka. Jangan kita menjadi batu api. Kongsikan pesanan ini kepada sahabat-sahabat yang mula mahu berbalah sesama sendiri.
YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 10/3/2021




















