Rasuah untuk mendapatkan hak atau untuk membatalkan kemudaratan dan kezaliman
Apakah Islam membenarkan untuk memberi rasuah kepada seseorang bagi mendapatkan haknya dan bolehkah rasuah diberikan semata-mata kerana hendak mengelakkan daripada kemudaratan atau kezaliman.
Sekiranya rasuah digunakan untuk tujuan yang tersebut di atas adakah yang salah dan berdosa hanya kepada yang menerima rasuah atau kedua-duanya sekali iaitu pemberi rasuah dan penerima rasuah adalah salah dan berdosa. Ada dua pandangan ulama dalam masalah ini.
Pertama, yang bersalah dan yang berdosa hanyalah penerima rasuah sahaja kerana pemberi rasuah itu memberi kepada penerima rasuah untuk mendapatkan haknya.
Sebagai contoh, pencuri yang mengambil barang seseorang itu ditawarkan oleh pemilik barang dengan suatu bayaran yang tertentu, jika pencuri itu memulangkan barang curiannya.
Maka bayaran kepada pencuri yang memulangkan barang itu tidak salah kerana ianya bukan sebagai rasuah.
Kedua, pendapat kebanyakan ulama bahawa yang memberi rasuah (ar-rasyi) dan yang menerima rasuah (al-murtasyi) keduanya adalah bersalah dan berdosa. Walaupun tujuan untuk mendapatkan hak dan untuk melepaskan daripada mendapat kemudaratan dan kezaliman kerana alasan-alasan di bawah ini:
i) Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (An-Nisa’: 29)
Berhujah dengan ayat di atas bahawa menerima harta rasuah untuk mendapatkan hak atau untuk menolak kemudaratan dan kezaliman adalah dianggap sebagai mengambil harta dengan cara yang tidak betul dan larangan Allah itu adalah hukumnya haram memakan harta orang lain. Kerana jika tujuan untuk mengembalikan hak seseorang, maka menjadi tanggungjawab pemerintah atau mahkamah bukan sebagai tanggungjawab perseorangan dengan melalui rasuah atau suapan.
ii) Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu menolong saudaranya.” (Abu Dawud – Sunan)
Cara berhujah dengan hadis ini bahawa penerima rasuah bagi mendapatkan hak atau untuk mengelakkan kemudaratan daripada seseorang itu membuktikan tidak ada kerjasama dan bertolongan, menyebabkan seseorang itu tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Dan sesiapa yang melakukan suatu yang menjauhkan dirinya daripada Allah SWT adalah berdosa. Maka penerima rasuah adalah dosa dan diharamkan.
iii) Hadis riwayat Al-Bukhari maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu adalah haram ke atas kamu.”
Hadis ini menjadi dalil kepada cara mengambil harta tanpa hak. Maka dengan sebab itu menerima rasuah untuk mendapatkan hak adalah diharamkan kerana ianya sama seperti mengambil harta orang lain tanpa hak.
Dalil pengharaman memberi rasuah adalah seperti berikut:
1. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Allah melaknat kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Hadis ini disebutkan secara umum sama ada kepada yang pemberi rasuah kerana hendak dapatkan haknya atau untuk menghilangkan daripada terkena mudarat atau kepada pemberi rasuah untuk mendapatkan hak yang tidak syarie.
2. Pada dasarnya bahawa mengambil harta orang lain hukumnya haram kerana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (An-Nisa’: 29)
Ayat di atas menjadi dalil bahawa memberi harta kepada penerima rasuah dalam keadaan seperti ini dikira sebagai menolong kepada penerima rasuah untuk memakan atau menggunakan harta dengan cara yang tidak betul dan memakan harta dengan cara yang batil dianggap seperti merosakkan harta pada jalan yang tak betul. Oleh itu, memberi rasuah kepada seorang adalah diharamkan.
3. Hukum asal bahawa mengambil harta orang hukumnya haram. Oleh itu, orang yang memberi rasuah tujuannya untuk mendapatkan haknya tetap ianya dilarang kerana yang menerima rasuah itu diminta supaya menunaikan suatu kewajiban iaitu untuk memulangkan hak yang memberi rasuah.
Tetapi dia tidak akan menunaikan sehingga dia mengambil rasuah, maka dia adalah berdosa. Maka haramlah seseorang itu memberi rasuah kepada seorang hakim supaya memulangkan hak seseorang. (bersambung) – HARAKAHDAILY 23/2/2021