Beri ruang generasi muda kuasai politik negara

- Advertisement -

POLITIK Malaysia sering dikaitkan dengan praktik politik yang cenderung untuk mengambil sikap permusuhan dengan saling tuduh-menuduh sehingga tiada lagi sikap kepedulian terhadap kesejahteraan untuk rakyat.

Para pemimpin dan elit politik dilihat terlalu mementingkan kedudukan, kuasa dan pengaruh sehingga turut membawa kecelaruan kepada fikiran dan aspirasi sebenar anak muda.

- Advertisement -

Justeru, penglibatan generasi muda dalam politik sangat diharapkan dalam mencorak proses pembentukan dan amalan politik baharu yang lebih intelek, pragmatik dan progesif sekali gus terkeluar daripada amalan politik primitif.

Wadah politik dipacu generasi muda diharapkan akan lebih cenderung untuk mengambil sikap bekerjasama secara intelektual dalam membahaskan isu melibatkan kepentingan rakyat secara praktikal.

Generasi muda harus diberikan ruang untuk memposisikan dirinya dalam politik Malaysia bagi menunjukkan kemampuannya mengurus hal ehwal berkaitan dengan rakyat dan negara.

Elit politik yang lebih veteran tidak seharusnya menggunakan dogma “siapa makan garam dahulu” dengan memperlekehkan kemampuan generasi muda mengurus hal ehwal negara.

Penglibatan generasi muda dalam politik dilihat mampu untuk membawa wadah baharu politik yang segar dengan menggabungkan kekuatan intelektual dan kecerdasan perjuangannya dengan tidak mengambil sikap terlalu taksub kepada ideologi kepartian sehingga menidakkan kebenaran dan keadilan.

Dr Ilyas

Generasi muda harus memposisikan diri untuk bertanding dalam pilihan raya.

Generasi muda berpotensi menjadi tulang belakang bagi menjayakan penyertaan demokrasi baharu dengan berperanan sebagai aktor utama dalam proses penentuan agenda negara.

Generasi muda harus berada dalam lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat proses mempengaruhi dasar awam di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif secara intektual dan matang.

Generasi muda juga harus memposisikan diri untuk bertanding dalam pilihan raya. Kekuatan generasi muda dalam badan legislatif dan juga eksekutif juga akan semakin kukuh melalui jawatan-jawatan yang bakal disandang di dalam kabinet.

Generasi muda turut boleh berperanan dalam memberikan pelajaran politik baharu kepada masyarakat menerusi wadah politik matang melibatkan pertukaran pendapat silang parti secara intelektual dan bukannya melalui kerahan rakyat ke jalanan dan juga cacian.

Generasi muda harus mempunyai perwatakan politik yang dinamis dan optimis meskipun dalam situasi politik yang begitu tegang. 

Selain itu generasi muda juga mampu menjadi suri teladan kepada rakyat ekoran tiadanya sosok elit politik yang dilihat mampu mempamerkan kebersamaan politik meskipun dalam situasi ancaman pandemik Covid-19.

Generasi muda juga mampu mempromosikan wadah politik baharu yang boleh diharapkan dengan menjadikan kebersamaan demi rakyat sebagai tonggak utama perjuangannya.

Gaya politik tersebut mampu untuk mengelakkan generasi muda daripada terus terperangkap dalam kemelut politik dan perebutan kuasa sehingga sanggup meminggirkan perbahasan yang lebih ilmiah.

Wadah politik intelektual ini juga berupaya menghindar generasi muda daripada terus terjerumus dengan kegagalan praktik politik generasi sebelumnya yang sering menyasarkan sosok tubuh peribadi seseorang sebagai modal politik demi kepentingan kuasa dan kedudukan.

Falsafah susila elit politik hari ini dilihat semakin parah kesan daripada pergelutan kuasa politik yang melampaui batas sehingga tidak lagi mampu untuk membezakan antara tanggungjawab kepada rakyat dengan kelangsungan politik peribadi.

Suasana ketidaktentuan politik pasca PRU ke-14 semakin parah dan setiap elit politik saling terlibat menjayakan budaya membenci kerana perbezaan fahaman politik tanpa adanya keinginan untuk membahaskan secara praktikal isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

DR. ILYAS ABDULLAH
Penulis adalah Pensyarah Sains Politik dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM PahangHARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -