MyDIGITAL mempercepatkan 5G

- Advertisement -

TAKLIMAT MyDIGITAL – Mempercepatkan 5G yang telah dibentangkan semalam menggariskan bagaimana kerajaan dan pihak industri akan melaksanakan peranan masing-masing bagi memacu pelaksanaan perkhidmatan 5G secara komersil di Malaysia menjelang akhir tahun ini. Penyediaan infrastruktur 5G akan diterajui oleh sebuah entiti khusus milik kerajaan atau Government of Malaysia Special Purpose Vehicle (GOMSPV) yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Penyediaan dan pengurusan infrastruktur 5G oleh GOMSPV melibatkan pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun dan membolehkan pengagihan kapasiti 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dilaksanakan secara saksama dan telus. Model pelaksanaan ini juga akan menjimatkan perbelanjaan modal syarikat telekomunikasi dan mengelakkan pertindihan infrastruktur jika mereka membina rangkaian infrastruktur secara berasingan. Kesan penjimatan dan pelaksanaan yang teratur ini akan dapat dinikmati oleh pengguna dalam bentuk kos perkhidmatan 5G yang berpatutan. 

- Advertisement -

Perkongsian infrastruktur di bawah GOMSPV membolehkan syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih luas dan kos yang kompetitif kepada pengguna di samping menjana pulangan lebih tinggi. Ini juga akan melonjakkan penggunaan 5G dengan lebih cepat dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

Melalui kaedah ini, syarikat telekomunikasi juga dapat menumpukan perhatian kepada usaha memperluas liputan gentian optik dan memantapkan liputan 4G ke seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar. Liputan 4G yang mantap memberi sokongan rangkaian dan menyediakan asas kukuh untuk penggunaan 5G. Liputan yang baik, literasi digital yang tinggi, kos yang berpatutan, dan inovasi yang dinamik akan menyumbang kepada ekosistem ekonomi digital yang berdaya saing seperti yang dihasratkan oleh aspirasi MyDIGITAL yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 19 Februari 2021 lalu.

MCMC selaku pengawal selia pelaksanaan 5G akan menyediakan lesen operasi mengikut syarat-syarat yang dipersetujui dan peruntukan jalur spektrum kepada GOMSPV untuk pelaksanaan 5G. Sejajar dengan usaha ini, kerajaan juga memberi komitmen untuk mewujudkan Pusat Pengalaman Digital Negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kegunaan 5G serta membantu peralihan dan inovasi 5G. 

Saya yakin dengan persefahaman dan usaha yang menyeluruh, kita mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia menerusi agenda pelaksanaan 5G yang cekap ke arah aspirasi MyDIGITAL menjelang tahun 2030. Bersama-sama kita usahakan Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital global yang kemakmurannya dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

YB DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH 
Menteri Komunikasi dan Multimedia – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -