
KOTA BHARU: Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggap berjaya memulakan pembaharuan begitu hebat di Kelantan bermula 1990 sehingga 2013.
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pembaharuan itu membuahkan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan yang dipasak dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
“Inilah antara aspek yang boleh dibanggakan dalam tempoh tiga dekad MBI sekarang. Begitu banyak nilai kejayaan yang menarik perhatian golongan akademik dan pengkaji politik Kelantan,” katanya di sini.

Dasar MBI mulai dilaksanakan di Kelantan selepas PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.
Ekoran kemenangan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar, biarpun pada peringkat awal beliau enggan menerima jawatan tersebut.
Bagaimanapun selepas PRU 2013 beliau berundur sebagai menteri besar kerana masalah kesihatan. Dan tempatnya digantikan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.
Dr Wan Nik berkata, dasar MBI yang digembleng kerajaan Kelantan berupaya menarik keyakinan rakyat sehingga berjaya mengekalkan pentadbiran di bawah ulama lebih 30 tahun.
“Pembangunan di bawah dasar MBI berjalan sepanjang 23 tahun di bawah kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
“Kemudian dasar tersebut diteruskan Ustaz Ahmad Yakob dengan mengekalkan konsep keberkatan, kemakmuran dan kebajikan.
“Begitu juga prinsip ubudiyah, masuliyah dan itqan terus dihayati jentera pentadbiran kerajaan,” ujarnya.
Kata beliau juga dasar MBI dianggap benar-benar membawa perubahan di Kelantan bagi mengisi ruang yang ditinggalkan Barisan Nasional. – HARAKAHDAILY 11/2/2021




















