Tidak perlu was-was terima vaksin – MB

- Advertisement -

SIK: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia menjadi kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau sebagai pemimpin, tindakan itu dianggap wajar dilakukan sebagai contoh kepada rakyat.

“Pemimpin perlu bersedia menjadi orang terawal disuntik sebagaimana yang diberi komitmen Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” ujarnya ketika sidang media di Keda Agrobiz Sdn Bhd hari ini.

Baru-baru ini, Tuan Guru Abdul Hadi memberitahu beliau bersedia menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama diberi suntikan vaksin.

- Advertisement -

Sanusi berkata, tindakan itu untuk menghilangkan rasa takut dan was-was dalam kalangan rakyat yang agak trauma dengan kejadian yang dilapor berlaku di Amerika Syarikat sebelum ini.

“Vaksin yang disuntik di Amerika Syarikat itu daripada jenis lain tetapi yang diimport oleh kerajaan Malaysia insya-Allah selamat dan diteliti kandungannya sebelum ia digunakan di negara kita,” ujarnya.

Malah Kerajaan Persekutuan menentukan beberapa garis panduan antaranya penerima suntikan vaksin itu mesti berumur lebih 18 tahun dan keutamaan kepada petugas barisan hadapan.

Oleh itu Sanusi berharap rakyat Kedah bersedia menerima vaksin bagi memperkuatkan imunisasi tubuh untuk menghadapi wabak Covid-19.

Malah kata beliau, kerajaan Malaysia membelanjakan kira RM3 bilion bagi membeli vaksin daripada luar negara.

“Tidak perlu was-was kerana Majlis Fatwa telah menghukumnya harus malah menjaga kesihatan itu adalah satu kewajipan,” sambung beliau.

Manakala dalam perkembangan lain kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.4 juta bagi membantu rakyat yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Besar berkata, antara golongan yang menerima bantuan itu peniaga yang akan menerima peralatan perniagaan bernilai RM350 melibatkan peruntukan RM1.26 juta.

“Untuk penjaja kecil akan disalurkan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Penyelaras Dun,” ujarnya di Wisma Darul Aman semalam.

Katanya, peruntukan akan diberikan kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membina kawasan perniagaan baharu yang dilengkapi dengan kemudahan bagi memberi manfaat peniaga kecil. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -