Pemalsuan logo Halal oleh kartel dijelaskan KPDNHEP

- Advertisement -

SAYA mengambil prihatin dan meletakkan kecaknaan yang penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram baru-baru ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membentangkan kepada saya pelan tindakan yang sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan dalam ruang lingkup bidang kuasa JAKIM.

Saya dan JAKIM telah mengambil inisiatif mengadakan beberapa lawatan ke Al-Hilal Food Processing Sdn. Bhd., Ramly Food Processing Sdn. Bhd. dan HS Nada Sdn. Bhd. pada 28 dan 29 Disember 2020 bagi pemantauan berkala. Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik. Bagi produk daging import, JAKIM akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar Negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan.

- Advertisement -

Kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Yang Berhormat Dato’ Rosol Wahid dalam Dewan Negara pada tengahari telah menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan ramai pihak. Menurut beliau:

(a) Semua daging yang terlibat telah dirampas dan disita dengan aset syarikat yang dibekukan bernilai RM1 juta.
(b) Pertuduhan akan dilaksanakan esok untuk tindakan memalsukan cop syarikat dan cop sijil halal.
(c) 5,000 keping logo Halal JAKIM yang ditiru telah dirampas.
(d) 2 buah lori yang menggunakan logo Halal JAKIM yang palsu turut disita dengan nilai sitaan mencecah RM1.03 juta.
(e) Dakwaan bahawa kartel daging haram ini telah berada di pasaran selama 40 tahun adalah tidak benar. Syarikat tersebut berdaftar pada tahun 2014 dan mendapat permit import pada tahun 2017.
(f) Menurut Jabatan Kimia, dakwaan bahawa terdapat daging kuda, babi dan kanggaru dalam kes kartel daging haram adalah tidak benar.
(g) Daging import jenama Allana dan Ramly tidak diragui akan status halalnya.

Saya menyambut baik hasrat pihak KPNDHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Selain itu, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik yang telah dipersetujui bersama.

Semoga hasrat yang murni ini dipermudahkan Allah S.W.T demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia. Terima kasih kepada umat Islam di Malaysia kerana terus teguh meyakini kualiti dan standard Halal JAKIM yang telah diiktiraf di peringkat global. Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا رَزَقۡنَـٰكُمۡ وَٱشۡكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِیَّاهُ تَعۡبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(al-Baqarah: 172)

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 29/12/2020

- Advertisement -