Syarikat terlibat kartel daging import haram dikenal pasti

PUTRAJAYA: Syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram di bawah dua kesalahan cap dagangan kini sedang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, disiasat dijalankan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDNHEP bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang turut menyiasat kes ini dan tertumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan,” katanya dilaporkan Bernama selepas melancarkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah, di sini hari ini.

Advertisement

Kegiatan kartel yang dibongkar media ini menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan, pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen.

Malah dilaporkan terdapat kakitangan kerajaan ‘dibeli’ termasuk pegawai agensi tertentu menjadi dalang dengan membantu pihak kartel melakukan penyeludupan bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Sebelum ini, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa mengaudit daging dan ayam yang akan dibawa masuk ke negara ini bagi memastikan ia berstatus halal,” ujar Kiandee mengakui isu ini serius dan perlu segera dibanteras.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dalam pada itu telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import seperti yang tular di media baru-baru ini.

Menurut sumber SPRM dipetik Bernama, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Fokus siasatan ialah terhadap isu pemalsuan borang Kastam K1 iaitu pengisytiharan barangan import serta amalan rasuah dalam kalangan agensi-agensi terlibat.

“Kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kastam telah diperoleh,” kata sumber itu. 

Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Rosol Wahid pula bagaimanapun menyangkal laporan bahawa aktiviti kartel didakwa itu telah wujud sejak 40 tahun sekian lama di negara ini hanya menyebabkan rakyat takut, sedang ia diperbesarkan.

”Tidaklah ia sampai berlarutan sehingga 40 tahun (seperti didakwa), tetapi kita ambil tindakan dan (sama sekali) tidak pernah berkompromi selama ini,” ujarnya memberi jaminan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Dato’ Iskandar Halim Sulaiman, sebelum bersara minggu lalu menegaskan bahawa tiada anggota penguat kuasa KPDNHEP terlibat dalam kes kartel daging import haram yang dibongkar di Senai, Johor baru-baru ini.

Beliau berkata pembabitan KPDNHEP dalam siasatan kes itu adalah atas penyalahgunaan perkataan halal serta label lain terhadap daging tersebut yang digunakan dalam urus niaga syarikat terlibat.

“Siasatan bukan berkait sijil halal tetapi lebih kepada penggunaan perkataan halal yang digunakan terhadap daging import tersebut sama ada kebenaran itu diberikan oleh pihak berkuasa yang berwibawa,” katanya lapor Astro Awani.

Selain itu, beliau berkata anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara juga diarahkan menyiasat lokasi daging tersebut di bawa, sama ada dijual semula kepada rakyat atau kepada restoran.

“Siasatan dijalankan untuk melihat ke mana daging-daging import tersebut dihantar. Ini sedang dikesan oleh pegawai KPDNHEP berdasarkan invois. Jika dikesan daging tersebut dijual di restoran dan disimpan di dalam bilik sejuk beku, daging akan dirampas,” ujarnya.

Semalam, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) juga menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu daging yang tiada pengesahan halal tetapi dilabelkan sebagai halal, sepertimana dilaporkan media. 

Yang Dipertua PUM, Dato’ Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pendedahan dibuat itu sangat mengejutkan dan turut mengecewakan umat Islam di Malaysia di atas tindakan kartel pegawai pelulus dan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol.

“Sangat pedih kita menghadapi isu ini kerana makanan halal adalah suatu perkara yang penting dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk mencari yang halal.

“Secara realiti, peniaga-peniaga besar mahupun kecil dan sederhana, tidak kira Muslim atau non-Muslim, turut berusaha untuk mendapatkan status pensijilan halal di mana ianya boleh meningkat kadar permintaan terhadap produk yang mendapat pensijilan halal tersebut. 

“Negara kita juga boleh dikatakan saban tahun mengadakan ekspo halal bagi menarik minat peniaga untuk melakukan perniagaan berasaskan halal ini. Bahkan boleh dikatakan negara-negara di dunia turut membekalkan produk halal ke negara mereka walaupun mereka bukan dalam kalangan negara Islam.

“Kesedaran terhadap produk halal telah tersebar ke seluruh dunia. Namun tindakan segelintir kartel ini telah mencemarkan industri halal. Ini termasuklah tindakan penguat kuasa yang bersekongkol dengan kartel ini,” ujarnya.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, bukan kali pertama isu seumpama terjadi, namun usaha pihak berkuasa mengekangnya sejak di pintu masuk negara sememangnya dihargai.

Namun gesanya, keraguan para pengguna mesti segera direda dan dijernihkan kerana wujud kekhuatiran terdapat daging import haram telah berlegar di pasaran angkara bolos oleh teknik licik pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan.

“Pemeriksaan agresif menyeluruh dan teliti mesti dilakukan serta diumumkan. Kepercayaan awam terhadap barang keperluan harian ini di pasaran negara mestilah diberi jaminan dalam semua aspek.

“Lebih-lebih lagi kes sebegini amat sensitif dan melibatkan juga persepsi integriti terhadap pihak berkuasa,” ujarnya mencadangkan pihak yang didapati bersalah mesti disenaraihitamkan. – HARAKAHDAILY 22/12/2020