Siasatan dalaman video tular TH Properties

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Kerajaan akan mengadakan siasatan dalaman pada minggu ini mengenai video yang tular mengaitkan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Properties.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan itu mengetahui cara pengurusan anak syarikat TH itu.

- Advertisement -

“Kita akan adakan siasatan dalaman bukan untuk mencari siapa yang bocorkan video itu tetapi untuk mengetahui, mengapa sampai ketahap begitu cara pengurusan di syarikat itu.

“Barangkali ada benda-benda yang belum lagi kita tahu dan kita tidak akan membiarkan perkara ini berterusan dalam usaha kita menguruskan harta umat Islam ini,” katanya di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, agensi yang mempunyai pendeposit 9.3 juta itu sepatutnya dikendalikan oleh individu yang berwibawa dan amanah tinggi.

Ahmad Marzuk turut menasihat semua pendeposit supaya tidak panik kerana kejadian tersebut sudah berada dalam kawalan dan pengetahuan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita memandang betapa pentingnya ‘good governance’ ini dan perlu kepada suasana kondusif dalam pengurusan aset umat Islam ini yang mempunyai pendeposit seramai 9.3 juta.

“Ini merupakan harapan rakyat, apa pun saya ingin sebutkan kepada semua pendeposit jangan panik kerana kerajaan akan mengadakan siasatan dalaman berkaitan tingkah laku pegawai,” katanya.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai video yang berdurasi kurang tiga minit itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat.

Perbuatan itu dilakukan dalam satu mesyuarat yang dipercaya melibatkan kakitangan pentadbiran TH Properties yang kemudian mengeluarkan kenyataan maaf berhubungan penularan itu. – HARAKAHDAILY 27/12/2020

- Advertisement -