Kartel daging ciplak sijil halal JAKIM

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai prosedur serta syarat yang ketat bagi memastikan kelulusan sijil halal diberikan syarikat daging sejuk beku.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, namun wujud segelintir pihak yang menciplak sijil kelulusan itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan sudah mempunyai Standard Prosedur Operasi (SOP) dalam permasalahan tersebut yang mampu mengelakkan kecuaian berlaku dalam gerak kerja Jakim.

“Kita telah meneliti isu ini bahawa kecuaian ini bukan berasal daripada kita, ini merupakan kes penipuan yang menggunakan nama syarikat yang ikut piawaian halal ditetapkan.

“Kajian sudah dilakukan memang tidak berlaku kecuaian sehingga berlakunya situasi di mana pegawai-pegawai kita cuai dalam bertugas dan tidak melaksanakan prosedur yang betul, tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Seragam Sekolah Siri 1 di Dewan Hj Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di sini, pagi tadi.

Seramai 600 orang pelajar daripada keluarga asnaf akan menerima sumbangan pakaian sekolah seluruh Parlimen Pengkalan Chepa dengan peruntukan RM102,000 bagi agihan itu.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata lagi, kerajaan juga akan mengisi kekosongan jawatan berkaitan pegawai dan penyelia di Bahagian Halal JAKIM.

Menurut beliau lagi, usaha tersebut bagi memastikan pihak industri terbabit benar-benar mematuhi syarat serta piawaian untuk mendapat hak pensijilan halal daripada JAKIM.

“Bahagian halal Jakim ini masih lagi kita perlukan tambahan dan bila saya teliti ada beberapa perjawatan di bawah JAKIM belum diisi walaupun kekosongan jawatan sudah ada.

“Hal ini berlaku kerana dasar sebelum ini ‘mengecilkan’ jawatan awam, jika usaha ini dapat dilaksanakan, memudahkan kita untuk memperkasakan lagi bahagian penguat kuasa halal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Jakim akan sentiasa mengemas kini isu kartel daging haram di negara ini selain memeriksa bagaimana syarikat terbabti mendapat kelulusan.

Dr Zulkifli berpandangan tidak semua perkara perlukan kelulusan sijil halal Jakim misalnya seperti daging korban.

Manakala jika jumlah sumber daging yang banyak seperti untuk kegunaan hotel dan sebagainya, pensijilan halal Jakim adalah diperlukan bagi menghilangkan kekeliruan.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada media selepas program penyampaian sumbangan barangan makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), semalam.- HARAKAHDAILY 27/12/2020

- Advertisement -