
BARU-baru ini saya telah dikongsikan kisah perjalanan seorang usahawan muda yang menguruskan sebuah syarikat perundingan kecil di tanah air. Perjalanan hidup anak muda bernama Eizaz ini menarik hati saya kerana beliau pada usia 18 tahun telah nekad mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendidikan sebaliknya menjerumus masuk dalam dunia perniagaan dengan membuka sebuah kedai alat muzik.
Itu kisah lebih sepuluh tahun dulu. Setelah Eizaz bertungkus-lumus bertahun-tahun membangunkan kedainya Guitar Empire, syukur Alhamdulillah, beliau kini semakin giat berniaga dan menceburkan diri pula dalam bidang-bidang perniagaan yang lain. Apabila perniagaannya semakin stabil, beliau telah kembali meneruskan pendidikan formal hingga berjaya mendapat ijazah sarjana. Hari ini, kedai Guitar Empire masih dikunjungi pelanggan, namun Eizaz juga sedang sibuk mengembangkan syarikat perundingan beliau, 7W Associates, meneroka pasaran ke serata tanah air.⠀
Pada saat ramai rakyat kita yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kisah Eizaz ini sangat memberi ilham dan inspirasi kepada kita. Namun apa yang lebih menggembirakan saya adalah mendengar bagaimana inisiatif kerajaan di waktu COVID-19 ini telah membantu perniagaan anak muda ini untuk terus beroperasi, khususnya Program Subsidi Upah untuk mengekalkan pekerja, dan Kemudahan Bantuan Bersasar untuk membantu aliran tunai perniagaan mahupun individu.⠀
Meskipun kita sudah sedikit sebanyak membiasakan diri dengan norma baharu di pasca COVID-19 ini, masih ada banyak perniagaan khususnya PKS dan PKS Mikro yang memerlukan bantuan. Itulah sebabnya pelbagai pakej stimulus ekonomi PENJANA dan KITA PRIHATIN diperkenalkan kerajaan, dengan kesinambungan melalui inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2021.⠀
Bantuan kerajaan telah dirangka untuk mencakupi setiap langkah dalam kitaran operasi perniagaan: sama ada dari segi suntikan modal, meningkatkan penggunaan teknologi, meningkatkan kemahiran para pekerja, mahupun mengembangkan pasaran ke peringkat Antarabangsa—pasti ada program atau skim bantuan yang telah kerajaan sediakan untuk tujuan tersebut.⠀
Kita juga sedar bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah pendaftaran syarikat baru di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun ini. Setakat September tahun ini sahaja, sejumlah 85,901 perniagaan baharu telah didaftarkan – melebihi jumlah keseluruhan tahun 2019 iaitu 76,443 syarikat.
Ada yang menganggap peningkatan jumlah perniagaan baru ini mungkin adalah akibat dari rakyat yang kehilangan kerja atau mata pencarian. Dalam erti kata lain, oleh kerana ramai yang sudah kehilangan pekerjaan maka mereka terpaksa membuka perniagaan baru untuk menjana pendapatan masing-masing. Walau bagaimanapun, kita perhatikan kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei ke 4.7 peratus pada bulan Oktober.⠀
Ini tidak bererti saya menidakkan realiti yang ramai rakyat telah terjejas punca pendapatan akibat COVID-19, dan kini perlu mencari sumber-sumber rezeki baharu. Kerajaan memerhati, dan komited untuk melakukan yang terbaik bagi membantu usaha rakyat dalam hal ini. Kita juga tidak boleh lupa bahawa PKS menyumbang kepada hampir 38.9 peratus KDNK negara, dan lebih 48.4 peratus peluang pekerjaan di dalam negara ini.
Ramai yang berpendapat inilah masa yang terbaik untuk memulakan perniagaan: Kini terdapat pelbagai agensi kerajaan menyediakan bermacam jenis dana perniagaan, pinjaman mudah, kemudahan infrastruktur rantaian bekalan dan infrastruktur digital, serta peluang pasaran yang semakin mudah didapati di serta dunia secara online.
Setakat ini, jumlah bantuan yang disalurkan kepada perniagaan melalui pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN telah memanfaatkan beratus ribu perniagaan mikro mahupun kecil dan sederhana. Antaranya adalah Program Subsidi Upah 1.0 dan 2.0 yang keseluruhannya bernilai hampir RM12.84 bilion yang telah memanfaatkan 361,380 syarikat; PKS PENJANA yang telah memberi pinjaman mudah bernilai hampir RM1 bilion kepada lebih 5,500 PKS, dan pelbagai skim kredit mudah di bawah PENJANA yang setakat ini telah memanfaatkan lebih 22,500 PKS mikro dengan jumlah pinjaman RM443 juta. Ini tidak termasuk Geran Khas Prihatin (GKP) dan GKP 2.0 yang telah memanfaatkan lebih 830,000 PKS mikro dengan nilai geran hampir RM2.5 bilion, mahupun Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bernilai lebih RM11.24 bilion yang telah diluluskan bagi 23,875 PKS.
Dalam usaha untuk terus menambahbaik sokongan kepada peniaga ini, saya gembira melihat rakan-rakan lain dalam kerajaan sedang merombak syarat-syarat tertentu bagi membolehkan golongan belia dan ibu tunggal B40 untuk mendaftarkan perniagaan di SSM secara percuma.
Namun, tindakan menceburkan diri dalam perniagaan haruslah mempunyai persediaan yang rapi. Apa yang memberangsangkan adalah dalam Program Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula bagi 130,000 individu, kursus yang menerima sambutan tertinggi adalah yang berkaitan ilmu keusahawanan; ini termasuklah cara berdagang di atas talian dan bersaing di peringkat Antarabangsa. Jelas semakin ramai yang mahu menceburkan diri kepada dunia keusahawanan.
Saya percaya rakyat kita sangat kreatif dan mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi. Lihat saja berapa banyak produk tempatan oleh syarikat-syarikat kecil yang mempunyai peminat tegar di luar negara, termasuk produk denim Raw Denim House dari Terengganu, Unit Kawalan Enjin (ECU) prestasi tinggi Tuneboss untuk motosikal lumba dari Kuala Lumpur, serta jenama batik dan ukiran kayu tempatan yang sudah menempa nama di industri fesyen dan reka bentuk dalaman Antarabangsa.
Potensi besar juga dilihat dalam industri makanan, contohnya makanan halal sejuk beku tempatan yang dieksport ke pasaran global. Saya juga dimaklumkan bahawa setakat ini, hanya 1-2 peratus penduduk Negeri China yang pernah merasa durian Musang King.⠀
Kerajaan juga memahami bahawa perniagaan baharu yang mempunyai hala tuju dan nilai tambah tinggi, mungkin memerlukan sokongan untuk menghasilkan dan memasarkan produk yang inovatif dan kompetitif. Kerajaan akan terus membantu, dan kepada usahawan dan innovators di luar sana, teruskan usaha anda dan gunakanlah pelbagai dana yang disediakan oleh kerajaan.
Malah, pelabur Antarabangsa kekal yakin terhadap syarikat-syarikat di Malaysia. Kerajaan telah melancarkan Dana Penjana Nasional, iaitu program padanan fund-of-funds, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada bulan Jun 2020. Pengurus dana teroka atau venture capital yang terpilih dari Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Singapura telah menunjukkan komitmen untuk membuat pelaburan di dalam PKS berciri teknologi start-up di Malaysia, dan mencapai unjuran dana maksimum RM1.57 bilion, atau RM370 juta melebihi peruntukan asal RM1.2 bilion.
Kerjasama ini bermakna ada peruntukan modal teroka khas untuk membangunkan PKS di Malaysia yang terlibat di dalam bidang-bidang seperti teknologi kewangan (Fintech), teknologi pendidikan (Edutech), teknologi pertanian (Agritech), serta kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).
Memang terdapat pelbagai bantuan yang diberikan kepada para usahawan dalam pelbagai bidang. Layari saja pautan rasmi Kementerian Kewangan dan Belanjawan 2021 (http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/) untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai manfaat untuk PKS dan perniagaan.
Seperti yang disuratkan di dalam Laporan LAKSANA ke-34, Pemenang Nobel Peace Prize, Profesor Muhammad Yunus dari Bangladesh pernah berkata dalam bukunya berjudul A World of Three Zeroes bahawa setiap manusia dilahirkan dengan ciri-ciri keusahawanan.
Walaupun COVID-19 ini penuh keruhnya, yang jernih juga ada. Kita dapat melihat tahap keusahawanan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Ini bukan pencapaian kerajaan. Ini pencapaian rakyat Malaysia yang berkerja keras untuk menukar tragedi COVID-19 kepada peluang keusahawan. Kerajaan hanyalah pemudahcara dan kami akan terus membantu anda mencapai cita-cita keusahawanan anda.
YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 27/12/2020




















