Tahniah Kerajaan PN: Aset umat Islam terjaga!

- Advertisement -

PADA 3 Disember 2020, saya bersama delegasi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah mengadakan pertemuan segera ke pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Tuan Ahmad Marzuk Shaary bagi menyatakan kebimbangan kami Pemuda PAS dan umat Islam kebanyakan di luar sana di atas isu penjualan aset tanah ladang kelapa sawit seluas 6,513.20 hektar di Sarawak milik anak syarikat TH Plantation Berhad (THP) iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat bukan Bumiputera, Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga sekadar RM170 juta. 

Harga jualan sebanyak RM170 juta ini adalah tidak munasabah kerana ianya terlalu rendah berbanding penilaian yang dibuat jurunilai CH William pada tahun 2018 sebanyak RM280 juta, serta penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada April lalu sebanyak RM224 juta, sebelum diminta dinilai semula oleh THP dan diturunkan kepada RM198 juta.

- Advertisement -

Di samping itu, Tamaco Plantation Sdn Bhd milik bukan Bumiputera itu juga telah diberikan syarat yang sangat istimewa untuk memiliki aset ini iaitu diberikan tempoh masa selama satu (1) tahun untuk meningkatkan ekuiti pemilikan Bumiputera kepada 30 peratus. Rundingan istimewa seperti ini menimbulkan banyak tanda tanya dan kerisauan daripada kami DPPM berkenaan tatacara jual beli aset ini.

Saya juga menyatakan bahawa ladang-ladang ini sedang menghasilkan keuntungan yang tinggi (sehingga semalam 7 Disember 2020, Harga Minyak Sawit Mentah Malaysia ialah RM3,640.00 per tan, sekali gus mencatat harga paling tinggi dalam sejarah tahun ini), namun kenapa ianya masih dipertimbangkan untuk dijual kepada syarikat bukan Bumiputera dengan harga di bawah harga pasaran?

Setelah mendengar dengan teliti penjelasan daripada YB Timbalan Menteri, kami bersyukur bahawa pihak kerajaan komited untuk menyelesaikan isu ini dan akan memastikan urusan aset dan harta milik umat Islam di dalam THP diurus dengan lebih teliti selepas daripada ini.

Saya mewakili Pemuda PAS dan seluruh umat Islam di Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana telah mengambil tindakan yang tepat iaitu menarik balik keputusan untuk menjual aset tersebut. Ini adalah bukti bahawa Kerajaan PN berbeza dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Di kesempatan ini juga, DPPM ingin menyatakan kekesalan kami kepada pihak pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) yang seringkali mengheret TH kepada isu-isu yang sering berlaku di zaman PH. Sekiranya pengurusan tertinggi TH tidak mampu untuk mengurus TH sepertimana aspirasi Kerajaan PN, kami mencadangkan agar pihak tertinggi TH meletakkan jawatan secara terhormat.

“Perkukuh Muafakat Nasional, Pertahan Perikatan Nasional” 

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -