Kerajaan tarik balik kelulusan kepada Tamaco

- Advertisement -

PERMOHONAN perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd daripada TH Plantations Berhad (THP) adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang telah berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.

Garis panduan ini telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera oleh bukan Bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera.

- Advertisement -

Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 telah dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan. Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat.

Berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor, maka pada 4 Disember 2020, kerajaan telah memutuskan bahawa keputusan ini ditarik balik untuk diteliti dengan lebih lanjut.

Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada Antarabangsa. Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah S.W.T memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH.

DATO’ SRI MUSTAPA BIN MOHAMED
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

SENATOR DATUK DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Bertarikh: 8 Disember 2020 bersamaan 22 Rabiul Awal 1442H – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -