Rusia, Indonesia jalani latihan ketenteraan bersama

Latihan ketenteraan Rusia dan Indonesia bakal berlangsung di pangkalan tentera laut Surabaya. (FOTO: Baha Breaking News)
- Advertisement -

JAKARTA: Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadakan latihan pertama mereka bersama Tentera Laut Rusia bulan depan, ketika pemimpin baharu negara itu berusaha untuk meningkatkan hubungannya dengan Rusia.

TNI-AL menerusi satu kenyataannya pada Selasa berkata, latihan itu akan berlangsung dari 4 hingga 8 November di Laut Jawa berhampiran pangkalan tentera laut negara itu di Surabaya.

- Advertisement -

Indonesia yang merupakan negara dengan ekonomi terbesar di rantau Asia Tenggara ketika ini mengekalkan dasar luar yang neutral, enggan berpihak dalam konflik Ukraine atau dalam persaingan kuasa besar antara Washington dan Beijing, lapor Al Arabiya.

Namun, Presiden Indonesia yang baru dilantik 20 Oktober lalu, Prabowo Subianto berjanji untuk menjadikan negara itu lebih berani di pentas dunia, di mana pada Julai lalu, beliau telah melawat Rusia untuk berbincang dengan Presiden, Vladimir Putin ketika masih menjawat jawatan Menteri Pertahanan Indonesia.

“Ia merupakan latihan dua hala yang penting antara TNI AL dan Tentera Laut Rusia.

“Rusia akan menghantar tiga kapal perang kelas korvet, sebuah kapal tangki sederhana, sebuah helikopter tentera dan sebuah bot tunda,” katanya menerusi kenyataan itu.

Sementara itu, Duta Rusia ke Indonesia, Sergey Tolchenov mengesahkan latihan itu dan berkata ia tidak ditujukan kepada mana-mana negara kuasa saingan.

“Ia hanya untuk meningkatkan keupayaan dan potensi kedua-dua armada kami,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Indonesia telah berulang kali meminta resolusi secara aman terhadap pencerobohan Rusia selama bertahun-tahun ke atas Ukraine. 

Bekas presiden, Joko Widodo menjadi pemimpin Asia pertama yang melawat kedua-dua ibu negara berkenaan iaitu Kyiv dan Moscow sejak meletusnya perang pada Februari 2022.

Kyiv sebelum ini mencemuh Prabowo pada Jun 2023 ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan Indonesia, atas apa yang disebut Ukraine sebagai cadangan damai ‘pelik’ yang dibuatnya pada sidang kemuncak pertahanan Dialog Shangri-La di Singapura.

Rancangannya itu termasuk penubuhan zon ‘demiliterisasi’ dan referendum di kawasan yang dipertikaikan di timur Ukraine. -Agensi/– HARAKAHDAILY 29/10/2024