Rakyat berterusan alami peningkatan harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan harga masih terus dirasai rakyat meskipun baru berada dalam separuh pertama (Q1) 2024 dan setelah pelbagai pemberian subsidi yang tinggi diperuntukan pada 2023.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, jika dilihat pada perincian item terbesar dalam bajet tambahan juga datangnya daripada bayaran subsidi dan bantuan tunai, iaitu RM14.48 bilion bersamaan 54.5 peratus iaitu lebih separuh.

- Advertisement -

“Terdapat dua aspek iaitu kedudukan fiskal kerajaan dan terlebih penting kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat.

“Kita sedia maklum, pada separuh kedua 2023, peningkatan harga secara menyeluruh masih terasa, dan makin terasa dalam separuh pertama 2024 ini, walaupun dengan peruntukan subsidi yang tinggi pada 2023.

“Bab kenaikan harga ni, jangan tanya menteri tetapi perlu tanya rakyat, perlu tanya peniaga-peniaga.

“Peniaga pula mengeluh tentang kenaikan kos, hasil jualan juga merosot atas faktor kuasa beli rakyat yang menyusut. Rakyat berkira-kira untuk berbelanja, kadang-kadang berhutang, rakyat pun kena ada bajet tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023, di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kesan kenaikan harga barang akan lebih meluas jika tidak diurus sebaiknya.

“Menjelang selesainya pendaftaran PADU hujung Mac ini, yang semalam difahamkan berita tentang PADU telah ‘dimorehkan’ oleh netizen.

“Seterusnya pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar yang akan dilaksanakan seawal Jun 2024, mungkin selepas Raya Haji,” katanya.

Justeru, antara kaedah yang dipertimbangkan adalah melalui pemberian baucer tunai, e-dompet dan kad subsidi secara tertakluk kepada kelayakan pendapatan, kaedah pengagihan, dan kekerapan penyaluran.

Yakni katanya, sama ada menerusi bayaran di ‘point of sales’ atau bayaran tertangguh, di mana mekanismanya masih lagi belum diumumkan oleh pihak Kerajaan.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran subsidi yang dapat mengimbangi kedudukan fiskal dengan lebih baik, dalam masa yang sama mengurangkan tekanan ke atas kos sara hidup ditanggung oleh rakyat.

“Di samping mesej dan penjelasan kepada rakyat, peniaga dan pelabur bagi mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan di kemudian hari,” kemukanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -