Cadang Dasar Gaji Progresif ikut amalan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Upah kerja atau gaji dalam sistem pentadbiran Islam diberikan oleh majikan berdasarkan kadar perkhidmatan atau kerja dilakukan tanpa ada sebarang campur tangan pihak ketiga yang mengawal bayaran tersebut.

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan projek rintis Dasar Gaji Progresif termasuk pembayaran insentif kepada syarikat yang menyertai dasar tersebut pada Jun depan.

- Advertisement -

Namun menurutnya, dasar ingin dilaksanakan oleh kerajaan itu berbeza dengan daripada amalan upah atau penggajian sebagaimana dalam sistem pentadbiran Islam yang pernah ada.

“Saya ingin tanya konsep keadilan yang mahu dicapai dalam Dasar Gaji Progresif berbanding gaji pekerja dalam Islam. Kalau ikut Islam gaji pekerja dibayar berdasarkan kerja atau perkhidmatan.

“Kalau dilihat RM50 juta untuk projek rintis ini adalah duit rakyat. Jadi bagaimana nasib pekerja yang tidak terlibat dan apakah konsep keadilan yang mahu dicapai dalam dasar ini?” soalnya.

Beliau mengemukakan perkara itu semasa mencelah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) kepada Menteri Ekonomi semasa Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Datuk Andi dalam soalan asalnya meminta Kerajaan menyatakan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti di samping memberikan keadilan sosial kepada pekerja sektor swasta.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib dalam jawapan menjelaskan, beliau tidak mahu menyentuh mengenai soalan tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam bidang gaji dalam Islam.

Bagaimanapun hasrat kerajaan melaksanakan dasar tersebut bagi memberi sokongan kepada syarikat dan pekerja sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menambah pengetahuan dan kemahiran sekaligus hasil dapat ditingkatkan.

“Kalau kita fikirkan sebagai seorang Islam, kita sangat digalakkan untuk meningkatkan pengetahuan kita supaya ia dapat memberikan maklumat yang betul bukan sahaja generasi akan datang, tetapi ahli keluarga.

“Meningkatkan pengetahuan kita akan memperbaiki dari segi kehidupan kita insyallah, dari segi niat gaji progresif sebab dari segi insentif kerajaan adalah untuk memberikan pengetahuan dan bantuan.

“Meningkatkan pengetahuan itu lebih mendalam dan luas supaya ia dapat meningkatkan, bukan sahaja dari segi pengetahuan kepada individu, (tetapi juga) sebagai pekerja dan syarikat dengan pengetahuan luas,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -