HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) disifatkan sebagai pembuka kepada kemenangan demi kemenangan bakal diperolehi PERIKATAN NASIONAL (PN) selepas ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengungkapkan keyakinan itu bersandarkan peristiwa agung Perjanjian Hudaibiyah yang dirakam Allah SWT sebagai janji kemenangan jelas dan nyata di dalam surah al-Fath.
Katanya, PN sudah memenangi kerusi Parlimen dan dua DUN di dalamnya dan memerlukan satu lagi kerusi dan jika Allah menetapkan memberi kemenangan, maka menjadikan kedudukan penuh 4-0 sebagaimana dihasratkan.
Menurut beliau, tanggungjawab pimpinan PN adalah menyediakan calon terbaik, di mana telah menampilkan Khairul Azhari Saut untuk berkhidmat dan bekerja serta bersusah senang bersama penduduk Kuala Kubu Bharu.
Sekarang ujar beliau, terserah kepada penduduk untuk memberi undi bagi memastikan calon tersebut dapat mewakili mereka ke Dewan Negeri Selangor bagi memperjuangkan segala kepentingan penduduk setempat.
“Pilihan raya ini merupakan peluang untuk Selangor. Mula-mula (kita hadapi) Pilihan Raya Umum, lepas itu Pilihan Raya Negeri, ini Pilihan Raya Kecil pula. Peluang ini kadang-kadang Allah Taala bagi bukan kita tahupun apa perancangan Allah.
“Tanggungjawab kita ialah untuk letak yang terbaik. Bagaimana kita nak tahu calon terbaik? Kerana pandangan kita sebagai pengundi mungkin tak sama dengan satu sama lain. Lalu kita perlu ada panduan. Panduan bagi memilih pemimpin.
“Apa panduan yang perlu kita ikut? Dalam Quran Allah Taala memandu kita dalam memilih pemimpin. Sebab pemimpin dia akan mencorak warnakan pengikut di belakangnya. Rakyat akan ikut corak hidup pemimpin.
“Bila pemimpin bohong, menteri juga pembohong. Maka pemimpin mesti dipilih yang terbaik. Sebab pemimpin bukan bertanggungjawab dunia sahaja. Dia akan bertanggungjawab sampai ke akhirat nanti,” terangnya.
Panduan memilih pemimpin
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu membawa perbahasan para ulama mengenai sifat-sifat perlu ada pada pemimpin hendak dipilih itu di mana pertama mestilah yang menjaga solat kerana ia melibatkan hubungan dengan Allah Taala.
Kedua terangnya, menunaikan zakat yang menunjukkan hubungan dengan sesama manusia selain tanggungjawab kepada harta, serta tidak mempunyai sikap tamak, rasuah dan menyeleweng atau salah guna kuasa.
Juga katanya, dengan menunaikan zakat bermakna orang itu memenuhi hak orang susah dan mempunyai jiwa keinsanan di mana sudah tentu ia mampu turun ke lapangan masyarakat untuk bertemu dengan orang ramai.
“Ciri ini sangat penting. Kata ulama mereka yang jaga hubungan sesama-sama manusia sebab yang susah ini bukan ikut bangsa. India ada susah, Cina ada susah, Melayu ada susah. Islam tidak beri hak kepada orang Melayu-Islam saja. Termasuk orang bukan-Islam,” jelasnya.
Ketiga kupas Ustaz Tuan Ibrahim, pemimpin mestilah menyuruh kepada kebaikan dan mesti mendahului amalan tersebut, misalnya apabila bercakap isu korupsi, maka dia dahulu menunjukkan penentangan dan tidak terlibat.
Pilihan raya ini bagaimanapun terangnya, adalah usaha ikhtiar kemampuan dan kekuatan jentera yang ada, namun nasihat beliau segala perkara hendaklah dikembalikan kepada Allah SWT.
“Maksudnya apa? Kita boleh usaha, doa, munajat, kita boleh kempen, beritahu, boleh yakinkan. Tetapi hakikat sebenar bahawa Allah Taala menjadi kuasa penentu dalam segala sesuatu.
“Untuk makluman, keputusan PRK KKB ini telahpun ada. Di mana? Di Luh Mahfuz. Sebelum ada (diciptakan) kita, Allah dah tentukan. Cuma Allah rahsiakan keputusan itu. Tarikh kita nak mati pun ada. Ya. Semua dah ada.
“Cuma Allah rahsiakan supaya kita berusaha, kita ikhtiar, kita doa, kita tawakal, kita turun kempen, kita munajat. Kita jumpa pengundi. Kita rayu pengundi. Kerana ini kemampuan yang ada pada makhluk.
“Tapi jangan berputus asa. Kerana kita ada Allah. Dalam hidup ini jangan lupa kita ada Allah. Ya. Sesuatu yang kita usaha semaksima mungkin. Lalu Allah jadi kuasa penentu,” ungkap beliau. – HARAKAHDAILY 3/4/2024