Kenyataan timbalan menteri dianggap mengelirukan

Dato' Seri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Mohamad Alamin diminta menarik balik kenyataan ketika berucap pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja pada 11 Mac lalu.

- Advertisement -

Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata beberapa petikan ayat digunakan oleh timbalan menteri itu bercanggah pendirian negara dalam konflik Palestin-Israel.

Beliau mempertikaikan pendirian kerajaan termasuk cadangan untuk memberi pengiktirafan kepada negara haram itu yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin kerajaan sebelum ini.

“Saya memohon supaya Timbalan Menteri Luar Negeri menarik semula kenyataan pada 11 Mac lalu yang saya anggap mengelirukan dewan dan saya mendapat jawapan Yang Dipertua, tidak puas hati dengan jawapan itu.

“Saya tidak akan setuju tetapi tidak perlu guna ayat ini, ‘kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel bla bla bla, lepas itu ‘mungkin kita akan dapat mengiktiraf…’,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau mengemukakan teks usul yang diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor di bawah peraturan dewan 18 (1) bagi berunding mengenai cadangan tersebut.

Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highland memahami apa yang mahu disampaikan oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Pahang itu dan meminta cadangan itu diusulkan semula untuk diputuskan kelak.

“Saya faham, baik kalau kita balik kepada peraturan apa yang saya lihat speaker telah buat keputusan, walau bagaimanapun nasihat saya, kalau kita lihat kepada 43 keputusan adalah muktamad.

“Tetapi selepas keputusan ini ada 48 jam, so please usulkan semula walaupun esok tiada lagi sidang, benda ini boleh dibawa ke depan on the next bulan enam, tetapi benda ini dalam tempoh 48 jam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -