Kelebihan puasa enam bulan Syawal

Berpuasa enam hari di bulan Syawal seperti berpuasa sepanjang tahun.
- Advertisement -

RAMADAN telah berlalu pergi dan berganti pula dengan Syawal yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Ibadah puasa pada bulan Ramadan boleh diibaratkan sebagai ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Oleh kerana itulah Aidilfitri menjadi tanda kemenangan setelah berjaya mengharunginya. Semoga amalan kita sepanjang Ramadan diterima Allah dan menjadikan kita hamba yang lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya.

Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda SAW ialah menunaikan puasa enam hari.

- Advertisement -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim: 1164)

Kefahaman daripada hadis ini adalah Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil dari al-Quran, Surah al-An’am ayat ke 160, bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.

Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya. Oleh sebab itulah Allah SWT telah menyediakan satu pintu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang berpuasa sahaja masuk melaluinya iaitu dinamakan dengan pintu Ar-Rayyan.

Apakah hukum puasa enam hari bulan Syawal?

Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam As-Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Bilakah puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW melarang berpuasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. (HR Al-Bukhari 1991)

Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?

Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda SAW menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

Fadhilat puasa enam

Rasulullah SAW telah menyebut bahawa sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dilanjutkan dengan enam hari pada bulan Syawal, ia akan dianggap seperti berpuasa sepanjang tahun.

Oleh itu, berpuasa enam hari ini adalah peluang emas untuk menambah lagi pahala amalan kita selepas Ramadan berakhir.

Amalan berpuasa enam pada bulan Syawal juga membawa pelbagai keberkatan.

Ia menjadi cara yang baik untuk kita mengekalkan momentum kebaikan dan ketakwaan yang telah diperoleh semasa Ramadan.

Selain itu, berpuasa pada bulan Syawal dapat membantu kita untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang mungkin terjadi semasa Ramadan dan selepas itu.

Mengikuti sunnah Baginda SAW bermakna kita dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meningkatkan kesedaran kita terhadap ajaran agama.

Oleh itu, marilah sama-sama manfaatkan peluang yang ada untuk melaksanakan amalan berpuasa enam pada bulan Syawal. Amalan ini tidak hanya membawa keberkatan dan kebaikan dalam hidup kita, tetapi juga mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 26/4/2024