Calon PN PRK KKB: Khairul Azhari lalui empat tapisan 

Muhyiddin di samping Khairul Azhari (dua dari kanan) serta Idris dan Dominic dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor, Selangor lewat malam tadi, 25 April 2024.
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Setiap calon Perikatan Nasional (PN) yang dilantik termasuk calon N.06 Kuala Kubu Bharu (KKB), Khairul Azhari Saut akan melalui tapisan secara intensif dan ekstensif.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertama adalah tapisan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan kedua tapisan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

- Advertisement -

“Ketiga (tapisan) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keempat (tapisan) dari segi insolvensi. Selain dari segi karakter, nilai moral beliau dan sebagainya. Itu semua kita ambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Bharu, di Bilik Gerakan Utama Oasis Seksyen 4, Bandar Utama Batang Kali, di sini, lewat malam tadi.

Dalam pada itu menurut Muhyiddin, PN telah menimbangkan daripada semua sudut bukan sahaja aspek kerusi ataupun jumlah pengundi, tetapi lebih meluas, mengenai soal situasi semasa.

“Kita dapat feedback (maklum balas) daripada penduduk dan pengundi di sini (Kuala Kubu Bharu) daripada berapa sumber yang kita dapat, di samping itu kita tahu dalam situasi dan keadaan negara yang berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah.

Khairul Azhari terpilih sebagai calon Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu menjelang 11 Mei 2024 atas dasar beliau sudah cukup dewasa, berpengalaman luas dan berkelayakan, selain merupakan warga asal yang sudah lama menetap di Kuala Kubu Bharu.

“Rakyat berhadapan dengan isu ekonomi dan berbagai-bagai lagi. Jadi, kita ambil kira semua faktor-faktor tadi di samping ada juga pandangan penduduk tempatan.

“Kita buat keputusan macam mana yang kita umumkan pada hari ini untuk meletakkan saudara Khairul sebagai calon kita ada (yang) qualification (kelayakan) anak tempatan sudah lama berada (menetap) di sini.

“Dikenali ramai dan dalam umur yang cukup dewasa (iaitu 54 tahun). Saya kira  beliau boleh berperanan sebagai wakil rakyat yang berkesan. Sebab itulah asal-asal yang jadi pertimbangan kita,” tegas Muhyiddin. 

Khairul Azhari fokus gerak kerja PRK KKB

Sementara itu, Khairul Azhari Saut berkata, buat masa ini beliau hanya akan memfokus terhadap gerak kerja pilihan raya untuk menang di PRK Kuala Kubu Bharu. 

Mantan Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor ini menegaskan beliau menyasarkan untuk memberikan kemenangan kepada PN menjelang PRK KKB pada 11 Mei ini.

“Buat masa ini, kami memberi tumpuan untuk memenangi Kuala Kubu Bharu, dan oleh itu, adalah penting untuk bergerak secara cekap dalam tempoh dua minggu akan datang menjelang hari pengundian.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai pihak lain. Kita tunggu Sabtu ini untuk melihat sama ada ia akan menjadi perlawanan lurus atau berbilang penjuru,” katanya merujuk kepada hari penamaan calon yang dijadualkan pada 27 April ini,” katanya.

Selain PN dan PH, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, namun masih belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya.

Turut hadir pada pengumuman calon pada malam tadi ialah  Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengumumkan Pang Sock Tao, 31, yang merupakan pegawai pembantu Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming, sebagai calon Pakatan Harapan untuk PRK KKB kali ini.

Kerusi Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tiga penggal DUN berkenaan, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada PRK negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon daripada PN, Parti Rakyat Malaysia dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan majoriti 4,119 undi. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -