Utama simpanan hari tua, pengeluaran jika terdesak

Pengstrukturan Semula Akaun KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperluaskan perlindungan sosial dan bantuan tunai lebih adil serta inklusif, kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan yang tidak boleh dibebankan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, kerajaan sepatutnya hanya memberi kebenaran pengeluaran KWSP setelah pencarum ‘dipakejkan’ dengan ilmu pengurusan dan kesedaran kewangan yang tinggi.

Beliau mengulas inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei nanti bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli, sepertimana diumumkan semalam.

Syahir memberi pandangan awal dan nasihat supaya pencarum bersikap melindungi simpanan persaraan dalam KWSP yang sebolehnya tidak diusik kecuali bagi tujuan kecemasan dan keadaan terdesak sahaja.

Bersama sikap pencarum itu, KWSP seru beliau, perlu komited dan profesional terhadap mandat untuk melindungi simpanan ahli dan membantu ahlinya mencapai simpanan mencukupi untuk persaraan yang selesa.

Malah pelaburan KWSP kemukanya, perlu memberikan pulangan yang optimum kepada pencarum, bahkan beliau mengalukan penglibatan KWSP untuk mengukuhkan kedudukan Ringgit dan merangsang pasaran saham tempatan.

Beliau turut meminta agar dilibatkan dana modal KWSP dan institusi pelaburan tempatan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji kepada usaha itu.

Jelasnya, ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan Ringgit dan merangsang pasaran saham tempatan agar diurus secara profesional, tanpa menjejaskan kepentingan ahli dan pencarum KWSP.

Syahir mengingatkan cabaran negara menua (ageing nation) yang perlu dipersiapkan Kerajaan, meliputi kecukupan simpanan persaraan, kesinambungan pencen penjawat awam, serta perlindungan sosial dan penjagaan warga tua yang menyeluruh.

“Namun (semua itu) hendaklah menjamin kemampanan dan keberuntungan simpanan ahli di masa depan. Kerajaan (pula) perlu memastikan rangkuman ‘perlindungan sosial’ yang lebih meluas dalam negara.

“(Yakni) melibatkan pekerja di sektor formal dan informal, khususnya pekerja di sektor swasta di bandar mahupun di luar bandar. Kerajaan (juga) perlu memastikan kecukupan bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan.

“Kerana ianya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan, bukan lagi bidang kuasa KWSP,” ujarnya menitip satu persatu saranan itu agar keutamaan simpanan hari tua dipertahankan.

Demikian itu tegasnya, pengeluaran KWSP adalah sumber pilihan terakhir (last resort) oleh rakyat, sebaliknya diutamakan dahulu bantuan tunai dan bantuan kebajikan yang tersedia oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

Juga bantuan atau kebajikan seumpama ke atas rakyat ujarnya, menerusi penglibatan sama pihak Negeri, bantuan Zakat dan Baitul Mal, di samping sumbangan sektor korporat dan NGO yang budiman.

Pengstrukturan semula daripada dua akaun itu membawa pengenalan Akaun 3 yang akan dikenali sebagai Akaun Fleksibel dengan caruman 10 peratus di mana simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Ia turut melibatkan perubahan kepada pecahan caruman iaitu 75 berbanding 70 peratus ke dalam Akaun 1 yang dinamakan Akaun Persaraan, sementara Akaun 2 iaitu Akaun Sejahtera dikurangkan daripada 30 kepada 15 peratus.

Kupas Syahir, Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan itu bertujuan jangka panjang di mana ia sangat penting, tetapi Akaun Fleksibel baharu diwujudkan adalah bertujuan aliran tunai jangka pendek, sekiranya terdesak dan kecemasan.

“(Sementara) Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan, (ini) bagi tujuan jangka sederhana, mengikut keperluan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -