Pemuda PN ditohmah boikot kenaikan gaji kakitangan kerajaan

Wan Ahmad Fayshal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan digesa memperbetulkan fakta kenaikan gaji sebanyak 13 peratus yang didakwa tertinggi dalam sejarah.”

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenaikan gaji tertinggi penjawat awam adalah sebanyak 35 peratus pada era Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

- Advertisement -

“Ia bukanlah seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya kenaikan tertinggi pada pemerintahan Kerajaan Madani ini,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan Pemuda PN telah ditohmah cuba memboikot kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang diumumkan bakal naik sebanyak 13% menjelang 1 Disember 2024

“Kenaikan (gaji kakitangan kerajaan) ini sesuatu yang sangat disokong oleh kami, Pemuda PN,” tegasnya.

Dalam kenyataan medianya, beliau menafikan sekeras-kerasnya kandungan fitnah artikel yang diterbitkan oleh portal Malaysiadateline.com yang menuduhnya dan pihak Pembangkang akan mensabotaj kenaikan gaji penjawat awam seperti yang diterbitkan.
“Kenyataan saya telah diputar belit dan sengaja dijadikan bahan untuk kempen memburukkan pihak Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.
“Justeru saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar Notis Tuntutan terhadap Malaysiadateline dan beri mereka 24 jam untuk menurunkan laporan tersebut dan mengemukakan permohonan maaf kepada saya secara terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, semakan yang dibuat mendapati Malaysiadateline telah membuat permohonan maaf terhadap kepada Wan Ahmad Fayhsal dan menarik semula artikel yang berjudul, Baru nak tarik nafas lega, PN pula rancang tolak usul kenaikan gaji penjawat awam?

Tambah beliau, kenyataan yang diputar belit oleh media itu seolah-olah Pemuda PN akan memboikot sama sekali kenaikan gaji penjawat awam ini hanyalah mahu menutup isu yang lebih merunsingkan keseluruhan rakyat Malaysia, berkenaan tekad kerajaan yang mahukan subsidi petrol ditarik sepenuhnya dalam masa terdekat.

Inilah bala yang paling besar setelah kerajaan menaikkan cukat SST kepada 8 peratus dan mengenakan cukai ini kepada sektor baru iaitu sektor logistik yang memperlihatkan harga barang harian rakyat melambung tinggi.

Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Ahli Parlimen Machang turut memberitahu, kerajaan sepatutnya memperincikan sama ada kenaikan gaji ini akan terpakai kepada semua gred penjawat awam atau tidak.

“Kerajaan juga perlu menaikkan juga elaun saraan bagi pesara, mengambil kira kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang turut menghimpit para pesara kita.

“Kerajaan juga perlu menyatakan apakah langkah yang telah diambil untuk menangani kenaikan harga barang yang mungkin berlaku sebagai reaksi daripada pengumuman ini seperti yang dinyatakan oleh pakar ekonomi, Datuk Dr. Madeline Berma,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar rakyat perlu sedar, apabila petrol yang selama ini diberikan subsidi, dan bakal ditarik, inilah kemuncak kepada kenaikan yang boleh dilabelkan sebagai ‘super dahsyat’.

“Ia masih menjadi igauan rakyat yang pastinya membuat beberapa golongan akan ‘terduduk’ dengan polisi baharu ini.

“Sehingga kini, kerajaan masih tidak menyatakan pendirian walaupun pengumuman awal telah dibuat oleh Menteri ‘Raja Formula’ yang disimpan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/05/2024

- Advertisement -