Umno hanya wujud dalam buku sejarah pasca-PRU16

'Anak Kecil Main Api' bakar rumah Umno

- Advertisement -

BANGI: Umno selepas ini mungkin hanya akan wujud di dalam buku sejarah semata-mata sekiranya senario undi atau sokongan sepertimana di PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) berterusan pada PRU16 nanti.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari melahirkan rasa simpati kepada Umno apabila terdapat naratif yang dimainkan kononnya parti itu kembali mendapat kekuatan daripada PRK KKB itu.

- Advertisement -

“Saya kesian kepada kawan-kawan kita di sebelah Umno. Antara yang mula-mula sekali mengumumkan kemenangan DAP dalam Facebook ialah Setiausaha Agung Umno. Bangganya dia, bangganya Umno bila DAP menang.

“Bukan kita nak kata pada Umno, tidak. Tapi kita nak ingatkan kepada kawan-kawan kita dalam Umno (bahawa) jalan yang kamu pilih untuk bersama dengan DAP, bersama dengan Pakatan Harapan (PH) ini ialah satu jalan mati.

“Ia bukan untuk menyelamatkan Umno, tetapi ia hanya untuk menyelamatkan siapa?” tanya beliau dijawab ‘Zahid Hamidi’ oleh hadirin pada Jelajah Selamatkan Malaysia di Dewan D Mawaddah, di sini semalam.

Menurut beliau, Umno dan PH bersorak seronok meraikan kemenangan di KKB seolah-olah mereka menang PRU16, padahal itu adalah kerusi DAP yang telah dimenangi sebelum itu dengan majoriti selesa.

“Berlaku PRK pun mereka menang balik, mereka cuma pertahankan kemenangan. Kita (Perikatan Nasional) tak berjaya nak merampas bukan kita kalah, gagal untuk nak menang,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ahmad Fadhli dalam ceramah itu membentangkan data statistik undi secara perbandingan dengan keputusan pada PRU15 dan PRN lalu sebagai menjelaskan pertambahan atau pengurangan undi diperolehi parti-parti.

Jelasnya, daripada data tersebut jelas menunjukkan ahli-ahli Umno sendiri tidak memberi undi kepada PH-DAP, melainkan ahli yang mungkin memberi wala’ kepada Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Bukanlah kita nak takutkan orang-orang Umno dengan DAP, tidak. Kamu kenal siapa DAP, kamu tahu macam mana agenda DAP. Itulah selama ini kamu nyanyi lagu ‘Anak Kecil Main Api’. Sekarang pun dah tak sanggup. Sudah tak sanggup dah.

“Sebab apa? Sebab anak kecil itu sudah dewasa? (Sebab) Api itu (DAP) dia (Umno) sudah bawa, membakar rumahnya sendiri,” ujarnya turut membentangkan dapatan undi diperolehi PN daripada pengundi muda.

Beliau turut menyifatkan sokongan anak muda itu sebagai masa depan cerah buat PN dalam arena politik negara termasuk dalam mencapai sasaran mengambil alih pemerintahan negeri Selangor.

Ahmad Fadhli juga melontarkan saranan untuk anak-anak perantauan yang bermastautin dan bekerja di Lembah Klang atau Wilayah Persekutuan agar menjadi pengundi di situ. – HARAKAHDAILY 18/5/2024

- Advertisement -