Perlu patuh kepada pimpinan parti

Hamzah dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti PERIKATAN NASIONAL di Kuala Lumpur, pada hari ini, 17 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan mendedahkan arahan spesifik yang dinyatakan dalam surat berkenaan kepada enam ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata demikian, ketika menjawab soalan pihak media mengenai adakah arahan bertulis tersebut merupakan peluang kepada wakil rakyat tersebut untuk menarik semula sokongan yang dinyatakan kepada kerajaan sebelum ini.

- Advertisement -

“Dia baca surat itu, dia faham dan dia tahu apa yang patut dilakukan. Jadi, boleh tanya mereka. Saya tak tahu apa mereka akan buat.

“Apa yang akan berlaku selepas 14 hari, kita akan panggil semula sesi (sidang media) lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Perikatan Nasional (PN), Publika, di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, surat arahan tersebut secara umumnya menekankan bahawa, sebagai ahli parti, mereka mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

Seterusnya, beliau juga ingin ahli parti mengetahui bahawa kepimpinan telah membuat ketetapan bahawa Bersatu tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Ketiga, kepimpinan juga membuat ketetapan bahawa Bersatu tidak menyokong mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri atau menyertai Kerajaan Negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu,” katanya.

“Keempat, Presiden parti turut jelas menyatakan bahawa PN akan memainkan peranan pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti yang bebas rasuah selaras dengan prinsip PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil,”katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri yang merupakan peruntukan pindaan atau khusus bagi tujuan penghalang perbuatan bagi lompat parti telah dipermainkan oleh Ahli Parlimen atau ADUN.

“Bila mana mereka bersikap selingkuh dengan menukar atau memberikan sokongan kepada parti politik lawan atau kepimpinan parti politik lawan secara menyalahgunakan peruntukan, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tanpa melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

“Hal ini memperlekehkan pindaan perlembagaan persekutuan dan peruntukan serupa dalam perlembagaan negeri-negeri yang seharusnya dianggap keramat.

“Sebagai parti politik yang berwibawa dan demi memastikan tadbir urus hal ehwal parti yang berintegriti dan bebas rasuah, arahan-arahan khusus di bawah ini telah diputuskan oleh MPT dan dikeluarkan menurut Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berharap, agar wakil rakyat parti mesti mematuhi arahan pimpinan dan Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Seterusnya memastikan Yang Berhormat tersebut akan mengumumkan tidak menyokong kerajaan yang ada pada hari ini dan memastikan bahawa Yang Berhormat tidak memberikan sokongan dalam apa jua cara pun.

“Banyak lagi yang kita telah berikan iaitu kita mahu mereka mematuhi, mendokong dan bersikap setia kepada perjuangan, semangat dan pendirian parti Bersatu seperti yang dihasratkan dan termaktub di bawah Fasal 9(1) Perlembagaan Bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -