PRK Kuala Kubu Baharu: Beralihkah sokongan Melayu?

- Advertisement -

RAKYAT pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Selangor, akhirnya telah membuat keputusan apabila 61.51 peratus daripada mereka keluar mengundi. Undi terbanyak diperolehi oleh calon Pakatan Harapan – DAP, Pang Sock Tao, yang memperolehi 14,000 undi. Calon PN 10,131 undi manakala dua lagi calon hilang wang pertaruhan. PH-DAP menang Pilihan Raya Kecil (PRK) ini dengan majoriti 3,869 undi.

Inilah PRK pertama di Selangor selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 tempoh hari di mana PH-BN menang 34 kerusi manakala PN 22. Kerusi Kuala Kubu Baharu sebelum ini milik DAP setelah calonnya menang dengan majoriti 4,119 dalam PRN Ke-15. Ketika itu seramai 69.25 peratus pengundi keluar mengundi.

- Advertisement -

Kerusi ini sejak PRU 2013 merupakan kerusi milik DAP. Menurut sumber pecahan pengundi mengikut kaum di KKB adalah seperti berikut: Melayu 49.3 peratus, Cina 30.6 peratus, India 17.9 peratus dan lain-lain 2.1 peratus. Untuk rekod kesemua 22 kerusi DUN milik PN di Selangor adalah kerusi yang peratus pengundi Melayunya lebih daripada 60 peratus. Contohnya terkecil Bukit Melawati 62.83 peratus (PN-Bersatu), Ijok 63.01 peratus (PN-PAS) dan Permatang 64.36 peratus (PN-Bersatu). PN tidak pernah menang di kerusi yang peratus pengundi Melayunya sebagaimana KKB.

Lantas saya memaklumkan seorang kawan penggiat media bahawa jika PH menang kerusi 49 peratus Melayu, ia sesuatu yang biasa tetapi apabila PN mampu menang kerusi sebegitu maka ia luar biasa. Soalnya adakah PRK ini memberi isyarat bahawa undi Melayu yang merupakan teras kekuatan PN khasnya di Selangor telah beralih ke PH?

Jika dibandingkan jumlah undi yang calon PN perolehi dalam PRN Ke-15 iaitu 10,743 dan PRK ini iaitu 10,131, PN kehilangan sekitar 612 undi. Tetapi PH juga merosot undinya kali ini, iaitu dari 14,862 dalam PRN Ke-15 ke 14,000 dalam PRK ini, iaitu susut 862 undi. Sebenarnya faktor penurunan ini adalah kerana jumlah pengundi yang keluar juga merosot berbanding PRN Ke-15.

Apa faktor ramai tidak keluar mengundi? Mungkinkah juga kerana protes pada PH?

Apa pun apabila Umno, sekutu PH-DAP mendakwa bahawa bahawa kemenangan PH-DAP kali ini kerana pengundi Melayu mula mengundi PH kerana kekuatan jentera Umno, ia agak memusykilkan. Pasti Umno perlu mendabik dada di hadapan PH-DAP, kerana tidak mahu dipandang lekeh, gagal membawa undi Melayu walaupun pernah menjadi parti Melayu tergagah dalam negara suatu ketika dahulu. Berkebetulan keputusan ini jatuh ketika Umno merayakan ulang tahunnya ke 78.

PN rasanya kekal mewakili suara umat Melayu Islam dan sudah mula didengari oleh masyarakat bukan Melayu. PRK ini sebenarnya membuka mata masyarakat Melayu betapa parti keramat Umno yang hari ini cuma ada 2 kerusi DUN di Selangor dan 26 kerusi Parlimen seluruh negara, terpaksa berhempas-pulas menjalin hubungan dengan DAP yang sebelum ini merupakan musuh tegar mereka. Demi untuk bangkit kembali, Umno merasakan formula bekerjasama dengan DAP lah jalan terbaik.

Demi mempertahankan jawatan dan kedudukan dalam keadaan paling lemah dalam sejarah, Umno relakan diri menjadi alat mengukuhkan kedudukan PH, khasnya DAP, Umno rasanya tidak semakin kuat pasca KKB.

Benar PN perlu mengkaji keputusan PRK ini dan lakukan penambahbaikan, tetapi ahli-ahli Umno lebih perlulah bermuhasabah diri, sanggupkah mengizinkan diri terus dihanyutkan pimpinan tertinggi menjadi tukang sorak PH-DAP, sedangkan suara Melayu Islam semakin bersatu di bawah PN. – HARAKAHDAILY 18/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -