Bersatu bagi tempoh 14 hari

Hamzah dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari ini, 17 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memberikan surat yang mengeluarkan arahan khusus kepada enam wakil rakyat Bersatu, yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, surat arahan khusus menurut Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu dilampirkan bersama-sama surat ini untuk tindakan selanjutnya oleh wakil rakyat tersebut.

- Advertisement -

“Adalah diingatkan bahawa Yang Berhormat diperlukan untuk mengakui, menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan tersebut (bermula 17 Mei).

“Kegagalan Yang Berhormat untuk berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka dalam parti Bersatu terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti PERIKATAN NASIONAL (PN), Publika, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; dan pimpinan Bersatu.

Terdahulu, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar namun masih kekal dalam parti.

Mereka yang terbabit ialah Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dato’ Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindakan yang diberikan kepada wakil rakyat tersebut merupakan sesuatu yang spesifik mengikut perlembagaan Bersatu.

“Kita terpaksa mengambil beberapa langkah yang tertentu yang pertama adalah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk menentukan segala arahan boleh kita keluarkan selepas mereka menerima aduan daripada kesalahan-kesalahan yang tertentu atau apa sahaja yang telah dilakukan oleh semua ahli Yang Berhormat.

“Kemudian barulah kita memastikan bahawa surat itu diterima arahan-arahan yang saya hantar sebagai Setiausaha Agung ‘diterima’ oleh semua ahli-ahli Yang Berhormat.

“Akhir sekali, mereka terpaksa kembalikan kepada kita mengikut arahan yang ada tercatat dalam surat yang saya hantarkan kepada mereka. Itulah yang ingin saya sampaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, surat arahan bertulis berkenaan telah dihantar menerusi e-mel, kurier dan juga serahan tangan.

“Surat telah pun saya hantar melalui e-mel Insya-Allah akan sampai hari ini, kurier dalam perjalanan, dan serahan tangan ada yang sudah terima dan ada yang belum terima,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -