‘Tangguhkan pemindahan kubur di Klang esok’

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar (MB) Negeri Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari digesa agar segera campur tangan, dengan  mengarahkan semua pihak menangguhkan kerja peralihan 90 tapak perkuburan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang yang terlibat dengan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan bermula esok (1 Mei).

Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali berkata, semua pihak perlu duduk bersama di meja rundingan untuk menyelesaikan isu ini kerana nasib dan kebajikan rakyat seharusnya diutamakan. 

- Advertisement -

“Biarlah kita berunding secara sivil dengan mengambil kira pandangan semua pihak terutama waris-waris yang berkenaan, dan mencapai satu keputusan yang boleh diterima semua dengan hati yang lapang dan tenang.

“Selaku Ahli Parlimen kawasan, saya menyedari bahawa projek ECRL ini cukup baik dan berguna kepada rakyat dan negeri, jadi saya secara peribadi menyokongnya. 

“Namun demikian apabila kepentingan dan kebajikan rakyat terjejas akibat pelaksanaan projek ini, perundingan secara holistik sewajarnya diadakan agar semua pihak termasuklah rakyat negeri Selangor yang terjejas akan berpuas hati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, bagi umat Islam proses permindahan tanah perkuburan ini adalah isu yang sangat sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani secara matang dan bijaksana. 

“Saya sedar ia adalah diharuskan mengikut syarak kerana menjaga kepentingan umum. Walau bagaimanapun biarlah projek kepentingan umum ini diteliti sebaik mungkin dengan keputusan peralihannya menjadi keutamaan terakhir jika sudah benar-benar buntu dan tiada alternatif.

“Selain itu, semua waris perlulah diberitahu dan diberi penerangan sewajarnya sebelum kubur keluarga mereka dialih. Ini perikemanusiaan asas yang sewajibnya dipraktik pihak kerajaan.

“Selaku Ahli Parlimen kawasan saya bersedia menjadi orang tengah untuk membantu menyelesaikan isu ini dan mengharapkan sangat agar YAB Menteri Besar Selangor memberi perhatian dan keutamaan pada kes sensitif ini dan berani membuat keputusan menangguhkan pelaksanaannya demi mendengar suara rakyat,” tambah beliau.

Dalam pada itu Halimah berkata, beliau akan mengutus surat kepada MB Selangor selain Dato Orang Kaya Maha Bijaya Klang serta Setiausaha Sulit Sultan Selangor dengan menyertakan kenyataan media ini supaya suara rakyat di kawasannya segera didengar dan mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, semalam (29 April), beliau selaku Ahli Parlimen Kapar telah ditemui oleh waris-waris yang terkesan berikutan isu tersebut.

“Saya difahamkan daripada pihak waris dan dari penjelasan yang saya terima dari pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bahawa kerja-kerja peralihan ini akan dilaksanakan mulai esok 1 Mei 2024.

“Selaku wakil rakyat di kawasan ini dan setelah mendengar keluhan serta rintihan mereka yang terjejas selain penjelasan dari pihak MBDK sendiri.

“Saya merasakan demi mengekalkan keharmonian dan mengelakkan sebarang ketegangan, semua pihak perlu duduk kembali di meja perundingan dan kerja-kerja peralihan yang mahu dimulakan esok (1 Mei) wajarlah ditangguhkan terlebih dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -