KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Komunikasi PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyalahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia (WFPI) bagi tahun ini.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor juga membangkitkan isu Malaysia di kedudukan ke-107 yang lebih teruk berbanding Israel di kedudukan ke-101 dalam WFPI 2024 tersebut.
“Bagi saya, Fahmi telah memalukan negara kerana kedudukan Malaysia di tangga ke-107 hanyalah baik sedikit sahaja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116).
“Fahmi tidak boleh dibiarkan memutar belit kata-kata untuk mencipta alasan kenapa situasi ini berlaku.
“Fahmi mesti mengambil tanggungjawab dan mengakui bahawa dia telah menjahanamkan kebebasan media di Malaysia,” katanya dalan satu kenyataan, hari ini.
Semalam bersempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia atau ringkasnya, Hari Media Sedunia (World Press Freedom), Reporters Without Borders (RSF) telah menyiarkan WFPI 2024 yang menunjukkan Malaysia merosot 34 tangga berbanding kedudukan ke-73 pada tahun lalu.
Menurut indeks itu, ia berpunca daripada tindakan kerajaan menyekat laman media yang mengkritik kerajaan, antaranya MalaysiaNow, Malaysia Today, TV Pertiwi, dan UtusanTV.
Selain itu juga, katanya kerajaan turut membatalkan pas media rasmi Harakah.
“Bukan setakat itu, pengamal media dan aktivis media sosial ditekan dan ditakutkan dengan tindakan undang-undang sehingga membantutkan kesuburan kebebasan bersuara dalam negara kita.
“Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk memberi jaminan memelihara dan meningkatkan kebebasan media di negara ini, tetapi apabila sudah berkuasa, media-media dicengkam dengan tindakan drakonian dan kuku besi,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata kemerosotan itu membuktikan kerajaan bersifat kuku besi serta janji kerajaan mengenai jaminan kebebasan media adalah palsu yang kini berada dalam keadaan kritikal dan parah.
“Pada 2023, Malaysia melonjak ke tangga ke-73 hasil usaha kerajaan PN pada tahun sebelum itu. Manakala laporan 2024 adalah penilaian terhadap setahun penuh kerajaan PH-BN, terutama kepada prestasi Fahmi Fadzil sebagai menteri yang bertanggungjawab sepanjang tempoh kajian dijalankan.
“Hasil kerja Fahmi sepanjang 2023 menjahanamkan hasil kerja sebelumnya sehingga kedudukan Malaysia merudum begitu teruk,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!