‘Mereka tak faham, tak kisah rakyat’

Halim Tamuri (kiri) menyatakan Perikatan Nasional akan menjelaskan tentang banyak perkara yang menunjukkkan kerajaan gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan kepada rakyat.
- Advertisement -

HULU SELANGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan memfokuskan kepada isu-isu tempatan dan nasional sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Halim Tamuri menjelaskan, ia penting bagi menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan untuk memahami denyut nadi rakyat yang dibelenggu dengan masalah khususnya berkaitan kos sara hidup.  

- Advertisement -

“Mereka tidak faham, mereka tidak kisah apa yang berlaku dengan rakyat. Jadi, ini sebagai satu tanda referendum kita kepada kerajaan Madani bahawa mereka gagal melakukan apa yang telah dijanjikan,”

“Walaupun telah diberi tempoh masa yang panjang, tetapi masih belum ada tanda-tanda ke mana kita nak pergi,” katanya.

Tambahnya, antara isu-isu nasional yang akan dibawa oleh PN adalah berkenaan kejatuhan nilai mata wang Ringgit, kenaikan cukai, subsidi petrol, isu beras putih tempatan.

Isu-isu tempatan pula, menurutnya, akan difokuskan kepada isu kemiskinan yang masih belum selesai, infrastruktur dan pembangunan yang masih lemah dan cukai pintu yang akan dikenakan di kampung-kampung tradisi.

“Ini antara perkara-perkara yang rakyat perlu faham. Kita perlu memberikan isyarat jelas kepada kerajaan persekutuan dan Selangor bahawa mereka gagal melaksanakan apa yang patut dilaksanakan,” tegasnya.

Menyentuh mengenai isu rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri yang diadakan di pekan Kuala Kubu Bharu pada malam selepas hari penamaan calon, beliau meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara berkenaan. 

“Saya minta mereka menyiasat adakah ianya dibenarkan kerana ia berlaku di kawasan pilihan raya, dan setakat mana jentera kerajaan digunakan,”

“Ini perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian dan perlu dibuat siasatan adakah ia melanggar peraturan SPR,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -