Lakonan pemimpin PH-BN tutup saling bercakaran

Tidak diyakini untuk bawa Malaysia hadapi cabaran geopolitik dunia kini

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Kerajaan Persekutuan diketuai Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) ketika ini tidak mampu mempamerkan pencapaian untuk membawa negara bergerak ke depan dengan lebih baik.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRK N.06 Kuala Kubu Bharu PN di Bandar Utama Batang Kali, di sini malam tadi.

Beliau membidas sikap Menteri yang apabila gagal menjawab persoalan atau isu dibangkitkan terhadap kerajaan, lalu diarahkan orang bercakap itu diam di mana tidak menggambarkan watak sepatutnya bagi seorang Menteri.

“Bukan lagu (macam) itu jadi Menteri cik hoi. Bukan pelakon. Kita kena ada integriti, kena ada jawapan, kena ada kefahaman yang jelas kepada senario yang berlaku, bukan tangkap muat semua. Tak boleh jawab suruh diam. 

“Level Menteri PH-BN yang ada pada hari ni tara (setakat) itu jelah. Kalau tengok level Menteri tara itu, boleh bayang dah kerajaan ni tara mana? Tara itulah, tak boleh pi mana? Tak tahu nak buat apa,” bidasnya.

Tempelaknya, begitu juga apabila gagal menjawab persoalan dibangkitkan, kerajaan hari ini juga mengarahkan tangkapan dibuat ke atas individu terbabit, sedangkan kerajaan langsung tidak menunjukkan pencapaian.

Jelas beliau, pentadbiran Kerajaan PH-BN juga tidak dapat dibandingkan dengan pencapaian Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 33 bulan kerana keadaan dan senario dialami berbeza.

Menteri Besar Kedah itu menyerlahkan dalam ucapannya kegagalan kerajaan ketika ini menguruskan antaranya isu ketiadaan beras tempatan di pasaran, berbeza zaman Kerajaan PN banyak beras walaupun negara berdepan pandemik COVID-19.

“Oleh kerana beras tak ada, lahir dalam pemikiran pemimpin-pemimpin kerajaan, untuk ganti karbohidrat (dari beras) makanlah ubi kayu. Jadi pemimpin, tapi tidak pernah melalui kehidupan sebagai rakyat biasa.

“Dia ingat ubi kayu walaupun sama-sama ada karbohidrat, boleh ganti nasi? Simple saja pemikiran depa (mereka), sangat ringkas. Boleh jadi Speaker (Dewan Rakyat) ooh hangpa, jangan terkejut. Pemikiran macam itu boleh jadi Speaker Dewan Rakyat. 

“Kalau lagu (macam) itu berlambak (orang) di Batang Kali ini boleh jadi Speaker. Hang (kamu) tahu ubi kayu itu (menyebabkan) kembung (perut),” ujarnya membidas pemikiran terhadap cadangan makan ubi kayu itu.

Kata Sanusi, dengan pemikiran seperti itu, kemampuan pemimpin kerajaan pada hari ini tidak diyakini untuk negara menghadapi cabaran dunia masa kini di mana terdapat peperangan dan politik tidak stabil di beberapa belahan dunia.

“Ada ‘stand’ (pendirian) yang perlu kita buat sebagai sebuah negara berkecuali dalam konflik antarabangsa yang makin hari makin berkembang. Maka pemikiran geopolitik pemimpin negara mesti tinggi jauh mengatasi kita semua,” ujarnya.

Tambah beliau, apatah lagi pemimpin Kerajaan Perpaduan ketika ini sudah tidak berpadu di mana saling berpecah dan berkelahi menunggu masa untuk bercerai, sudah tentu berantakan tanpa persefahaman itu akan menjahanamkan negara.

Menurut Sanusi, pemimpin politik kerajaan hari ini hanya berlakon di depan rakyat sahaja menutup percakaran dalaman yang berlaku antara mereka di mana semua itu akan memberi kesan besar kepada pemerintahan negara.

Beliau juga menyifatkan pemimpin kerajaan memerintah ketika ini tidak tahu melaksanakan kerja hakiki kerana sibuk mencari salah, serta memfitnah dan memburukkan orang lain sedangkan tanggungjawab sebagai kerajaan terlalu banyak.

“Kita tengok senario dan situasi semasa kita tahu dah buat penilaian kerajaan ni. Kalau dibiarkan berlama-lama berlarut-larut memimpin negara ini, negara ini akan rosak jahanam dan tidak akan mampu pergi ke depan.

“Kerana cabaran kita bukan lagi macam cabaran dulu, sekarang ini semakin besar perubahan dunia, baik perubahan cuaca mahupun perubahan politik perubahan geopolitik. Kegiatan-kegiatan intelligence yang akan datang untuk menguasai negara ini. 

“Kena ada kepimpinan negara yang benar-benar faham realiti dan situasi untuk pimpin kita semua keluar daripada situasi ini. Kita akan jadi negara yang kukuh, negara yang kuat, negara yang boleh menjadi contoh.

“Bagaimana kita hidup aman damai, dalam keadaan kita berbilang kaum untuk memajukan ekonomi untuk semua orang tanpa meminggirkan mana-mana kaum. Inilah yang ada resipi itu hanya dalam PERIKATAN NASIONAL untuk kita di Kuala Kubu Bharu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -