Puding Raja popular pada Ramadan dan Aidilfitri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang armalah mengusahakan Puding Raja secara kecil-kecilan pada tahun 2016 selepas setahun menikmati makanan itu ketika keluarganya diundang ke istana.

- Advertisement -

Shara Nia Dyana Suhaimei, 33 berkata, beliau dan keluarga menikmati keenakan kuih berkenaan sebelum berusaha membuat sendiri Puding Raja.

Katanya, sajian pencuci mulut itu sebelum ini hanya menjadi santapan di istana.

“Puding Raja antara kuih popular pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Sekarang saya tidak menang tangan kerana menerima tempahan tiga kali ganda berbanding hari biasa.

“Pada bulan Ramadan saya menjual sehingga 500 kotak Puding Raja sehari berbanding hari biasa sekitar 150 kotak. Harganya RM15 seberat 500 gram.

“Setiap hari saya memerlukan sehingga 10 kilogram jala emas dan pisang sebanyak 100 kg untuk menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga jala emas dibeli dengan pemborong kuih di Kuala Besar dan bekalan pisang Jelar Berangan dari pekebun di Bachok.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia 10 dan 12 tahun itu berkata, Puding Raja keluarannya turut mendapat sambutan pelanggan dari Jerteh, Besut, Perak, Selangor, Kuantan dan Kuala Lumpur.

Selain itu beliau mempunyai seramai 20 ejen di beberapa negeri.

Beliau juga dibantu adiknya Nik Shahrul Aziram Suhaimei, 28 bagi menyediakan Puding Raja terutamanya membuat penghantaran kepada pelanggan.

“Setakat ini kita hantar paling jauh di Jerteh dan Besut. Tempahan secara online kita hantar secara pos,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -