Akta Siber perlu berperanan kawal sistem aplikasi AI

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 perlu berperanan mengawal sistem yang mengaplikasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini adalah disebabkan teknologi AI itu perlu dilatih menggunakan set data yang amat besar bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan sistem AI berfungsi.

“Ini akan membuka ruang kepada risiko pencerobohan data sensitif, akses tanpa kebenaran, mengorbankan privasi pengguna terutamanya kepada rakyat,” ujar beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ustaz Ahmad Fadhli berkata, bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada lima hari lepas telah sebulat suara menerima pakai resolusi global pertama mengenai kecerdasan buatan atau AI.

“Jadi saya ingin bertanya apakah Malaysia juga akan mengambil langkah yang sama, proaktif menyambut resolusi yang telah diluluskan oleh PBB ini.

“Saya merujuk kepada peningkatan aplikasi teknologi AI dalam kalangan pemain industri termasuk juga semakin diterima pakai dalam sistem agensi kerajaan memerlukan kita mengambil langkah berjaga-jaga,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -