Ramadan 2024 serlahkan impak kegagalan Ekonomi Madani 

Golongan peniaga di bazar-bazar dalam Ramadan 2024 dilaporkan terkena tempias kenaikan harga barang dan kekurangan bilangan pengunjung dan pembeli. (FOTO HIASAN/Facebook OH Bulan!)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramadan 2024 menjadi tarikh terzahirnya atau terserlahnya impak kegagalan dasar Ekonomi Madani menerusi peningkatan harga barang yang melambung.

Profesional Istiqamah dalam kenyataannya berkata, impaknya adalah seperti yang dapat dilihat dalam senario di bazar-bazar Ramadan dan kedai-kedai runcit pada tahun ini, kekurangan daya beli pengguna seperti rungutan rakyat yang tidak lagi mampu membeli baju raya serta peningkatan pelbagai kos sara hidup lain termasuk bil elektrik, tambang bas dan tambang kapal terbang. 

- Advertisement -

“Sementara, dalam sektor penting seperti sektor kesihatan berdepan krisis kekurangan tenaga kerja berikutan polisi penjimatan Kerajaan Madani.

“Tidak perlu begitu terperinci, jika kita lihat prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2023 yang hanya mencapai 3.7 peratus serta tidak melepasi sasaran 4% hingga 5% pun sudah cukup memberi gambaran bahawa ada sesuatu tidak kena dengan hala tuju ekonomi negara sekarang ini. Kerajaan ternyata menuju kegagalan,” tegas kenyataan itu.

Risiko dasar ekonomi sejak awal lagi

Mengimbas kembali Profesional Istiqamah menyatakan, dasar ekonomi yang dipilih kerajaan sejak awal lagi telah meletakkan negara dan rakyat dalam keadaan berisiko.

“Beberapa bulan pertama mentadbir negara, kerajaan Madani lambat dalam mengeluarkan pelan strategik dan hala tuju ekonomi negara dengan jelas. Sehingga hal ini menjejaskan pelaburan ke dalam negara.

“Hal ini seperti diakui sendiri oleh Maybank Investment Berhad menerusi jemputan e-mel kepada para pelabur Maybank yang tular apabila dalam e-mel tersebut, Maybank sendiri mengakui bahawa ‘Dasar PM yang tidak jelas dan ketidaktentuan dalam kestabilan kuasa juga membawa kepada kebimbangan pasaran’,” jelasnya.

Tambah Profesional Istiqamah, hanya menjelang Ogos 2023 barulah Pelan Ekonomi Madani dikeluarkan disusuli beberapa idea seperti Dasar Gaji Progresif, Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR), serta Pangkalan Data Utama (PADU). 

“Dalam masa sama pendekatan mesra dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu bercirikan Dasar Penyesuaian Struktur turut digunakan kerajaan.

“Penjimatan fiskal kerajaan menjadi keutamaan sepertimana dapat dilihat daripada dasar kerajaan yang ingin menghapuskan pencen untuk penjawat awam, keengganan berbelanja lebih untuk sektor penting seperti sektor kesihatan awam serta pengurangan subsidi sepertimana dapat dilihat daripada pemotongan subsidi tepung dan cadangan pemotongan subsidi minyak,” hujah kenyataan itu lagi.

Menurut Profesional Istiqamah, cukai yang pelbagai juga telah diperkenalkan sehingga menekan kedudukan ekonomi rakyat seperti Cukai Barangan Bernilai Rendah, Cukai Servis Digital dan perluasan dan peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8%. 

“Pengenalan cukai pelbagai ini meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat sehingga menjejaskan kuasa beli rakyat sebagaimana ditunjukkan oleh trend pembelian runcit domestik yang kini empat bulan berturut-turut mencatatkan penurunan,” tegasnya.

Satu persatu inisiatif kerajaan dikritik

Profesional Istiqamah turut menyatakan bahawa, satu persatu inisiatif kerajaan Madani berdepan kritikan dan rasa skeptikal baik daripada rakyat mahupun pakar-pakar ekonomi negara. 

“Dasar Gaji Progresif dikhuatiri sebagai sebuah dasar yang masih belum matang serta terdapat banyak elemen yang belum dipastikan. Impak pelaksanaan gaji progresif juga diramalkan oleh pakar sebagai belum boleh dirasai pada tahun 2024. 

Sementara, NETR dan NIMP pernah disarankan untuk ditangguhkan sementara oleh dua pakar ekonomi – Paolo Casadio dan Geoffrey William masing-masing daripada Universiti HELP dan juga Malaysia University of Science and Technology.

Terkini, menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah tamat tempoh pendaftaran pada 31 Mac 2024 gagal mencapai sasaran apabila tidak sampai separuh daripada 21 juta jumlah isi rumah yang terdapat dalam data kerajaan mengisi sistem ini.

“Bahkan PADU secara terang-terangan ditolak oleh dua kerajaan negeri iaitu kerajaan Sabah dan Sarawak. Ini adalah satu indikator jelas betapa rakyat tidak mempercayai inisiatif Kerajaan Madani dan Menteri Ekonomi.

“Sedangkan PADU menjadi senjata ampuh Kerajaan Madani dalam pengurusan ekonomi rakyat iaitu sebagai medan pelaksanaan subsidi bersasar,” ujarnya.

Profesional Istiqamah menyatakan, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai langkah dan polisi yang mencengkam poket rakyat, maka jika usaha untuk meringankan beban rakyat gagal dilaksanakan, ia akan menjadi resepi kepada mala pateka ekonomi rakyat.

“Dalam keadaan ringgit terus lemah, Kerajaan Madani gagal menarik lebih the ramai pelabur ke dalam negara. Ini dibuktikan menerusi statistik oleh Bank Negara yang menunjukkan penurunan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 47.1% daripada tahun 2022. 

“Malaysia mencatatkan pelaburan asing sebanyak 39.5 bilion sahaja berbeza jika dibandingkan dengan apa yang dicanang pemimpin Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -