Gaza: Tentera Israel bunuh warga Britain, Australia

Pasukan paramedik yang memindahkan mayat ke hospital memaparkan pasport tiga daripada mangsa warga asing yang terbunuh dalam serangan terbaharu tentera Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza pada malam tadi, 1 April 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Sekurang-kurangnya lima pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Central Kitchen (WCK), termasuk warga Britain dan Australia terbunuh dalam serangan udara Angkatan Tentera Israel (IDF) di sini, lewat malam tadi, Isnin (1 April).

Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas dalam kenyataannya  berkata, selain warga Britain dan Australia berkenaan, mangsa lain yang terbunuh dalam insiden di Deir al-Balah, di kawasan tengah Gaza itu termasuk rakyat Poland dan seorang penduduk Palestin.

- Advertisement -

Sehubungan  itu, WCK melalui platform X menyatakan, “Kami menyedari laporan bahawa ahli pasukan WCK telah terbunuh dalam serangan IDF ketika bekerja untuk menyokong usaha penghantaran makanan kemanusiaan kami di Gaza.

“Ini adalah tragedi. Pekerja bantuan kemanusiaan dan orang awam tidak pernah menjadi sasaran (sebegini).”

Respons pejuang Hamas

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, kumpulan pejuang Islam Hamas berkata, serangan itu bertujuan untuk ‘menakut-nakut’ pekerja agensi kemanusiaan antarabangsa dan menghalang mereka daripada meneruskan misi mereka.

Mengulas mengenai laporan itu, IDF pula berkata ia sedang menjalankan kajian menyeluruh di peringkat tertinggi untuk memahami keadaan apa yang disebut sebagai insiden tragis itu.

Wartawan 9 News (kanan) melaporkan salah seorang daripada mangsa yang terbunuh dalam serangan terbaharu tentera Israel di Semenanjung Gaza ialah warga Australia, Lalzawmi ‘Zomi’ Frankcom (kiri). (FOTO: YouTube)

“IDF melakukan usaha yang meluas untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat, dan telah bekerjasama rapat dengan WCK dalam usaha penting mereka untuk menyediakan makanan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” dakwa kenyataan IDF itu, lapor Reuters.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata dalam wawancara radio dengan penyiar negeri ABC bahawa kementerian luar negara itu ‘menyiasat segera’ laporan itu.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia berkata, laporan kematian seorang pekerja bantuan Australia, Lalzawmi ‘Zomi’ Frankcom amat mendukacitakan, yang terdahulu dilaporkan agensi penyiaran Australia, 9 News.

Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di luar Hospital Al-Shifa di Gaza selepas tentera Israel berundur dari kompleks perubatan terbesat di Semenanjung Gaza itu pada 1 April 2024. (FOTO: AFP)

“Kami telah jelas mengenai keperluan untuk nyawa orang awam dilindungi dalam konflik ini. Kami juga sangat jelas bahawa kami menjangkakan pekerja kemanusiaan di Gaza mempunyai akses yang selamat dan tanpa halangan untuk melakukan kerja menyelamatkan nyawa mereka,” kata jurucakap itu.

Video yang diperoleh Reuters menunjukkan paramedik memindahkan mayat ke hospital dan memaparkan pasport tiga daripada mereka yang terbunuh.

Chef Joses Andres zahir kedukaan

Terdahulu, WCK telah bertindak menyampaikan bantuan makanan dan menyediakan makanan untuk penduduk Gaza  yang memerlukan bantuan, dan berkata bulan lalu, ia telah menyediakan lebih 42 juta makanan di Gaza dalam tempoh selama 175 hari.

Menerusi ciapan di aplikasi X semalam, WCK menyatakan pasukannya bergerak di seluruh Gaza untuk mengedarkan makanan kepada rakyat Palestin, setiap hari.

“Kami memiliki lebih 60 dapur di selatan dan pusat Gaza yang memasak ratusan ribu makanan setiap hari,“ ujar kenyataan itu.

WCK ditubuhkan pada tahun 2010, oleh Chef Jose Andres dengan menghantar tukang masak dan makanan ke Haiti selepas berlaku gempa bumi. 

Organisasi berkenaan sejak itu telah menghantar makanan untuk komuniti yang dilanda bencana alam, pelarian di sempadan Amerika Syarikat, pekerja penjagaan kesihatan ketika wabak Covid-19 dan penduduk yang dilanda konflik perang di Ukraine dan Gaza.

Chef Jose Andres pengasas penubuhan World Central Kitchen pada 2010. (FOTO: YouTube)

Andres berkata dalam platform X, bahawa beliau sedih dan berduka atas keluarga dan rakan-rakan  mangsa yang maut dalam serangan udara itu.

“Kerajaan Israel perlu menghentikan pembunuhan ‘sesuka hati’  ini. Ia perlu berhenti menyekat bantuan kemanusiaan, berhenti membunuh orang awam dan pekerja bantuan, dan berhenti menggunakan makanan sebagai senjata di Gaza. 

Tiada lagi nyawa yang tidak berdosa terkorban. Keamanan bermula dengan kemanusiaan kita bersama. Ia perlu mulakan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pegawai kesihatan Palestin berkata serangan udara berasingan Israel ke atas sebuah rumah mengorbankan enam orang di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza, lokasi lebih sejuta penduduk Palestin berlindung pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -