Kasino: Kerajaan Madani tidak saman Bloomberg?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani sehingga kini belum berura-ura mahu mengambil tindakan saman berhubung laporan mendakwa akan membangunkan kasino di Forest City, Johor yang disiarkan Bloomberg, minggu lalu.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, fitnah oleh media asing tersebut adalah perkara serius kerana dibuat ke atas kerajaan, di mana ia menuntut saman dan tindakan berkaitan dikemukakan segera.

“Laporan Bloomberg ini diulang siar oleh beberapa agensi antarabangsa yang lain, sangat bahaya dan memalukan Perdana Menteri kita. Ini bukan lagi fitnah kertas A4 hitam yang dibaca oleh seseorang di tengah malam satu ketika dulu.

“Kita minta kerajaan bertindak ke atas Bloomberg yang kurang ajar ini! Lainlah jika kerajaan pun rasa laporan ini ada kebenarannya sedikit sebanyak…,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Media berpengaruh itu melaporkan bahawa pusat perjudian meliputi projek pembangunan bernilai RM480 bilion dijangka bakal diwujudkan bandar yang sebelum ini berdepan kemelut menjadi gajah putih itu.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay antara nama yang tertera dalam laporan tersebut.

Walaupun mereka bertiga menafikan, Anwar sekadar menyeru pihak berkaitan mengambil tindakan di mana Genting mendesak siaran dihentikan, manakala Berjaya pula melapor polis supaya siasat sumber tidak dinamakan oleh media itu.

“Ketika Sarawak Report fitnah PAS kononnya terima RM90 juta daripada Umno, bersungguh-sungguh pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjajanya, bahkan dicabar supaya PAS saman jika tidak betul.

“Padahal PAS hanyalah sebuah parti yang mempunyai sumber kewangan terhad, dan akhirnya Editor Sarawak Report disaman oleh Kerabat Diraja Terengganu dan telahpun kalah di mahkamah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -