ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan supaya mengadakan kajian menyeluruh mengenai keberkesanan sistem penyampaian disiplin ilmu pedagogi terutamanya ke atas pelatih-pelatih baharu supaya lebih efektif dan responsif ketika berada di bilik darjah kelak.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, siri-siri latihan profesional perguruan juga hendaklah dipertingkat dari masa ke semasa agar mereka sentiasa terdedah dengan teknik-teknik pembelajaran dan pengajaran (P&P) terkini.
“Para guru perlu sentiasa didedahkan dengan teknik-teknik baru P&P yang mampu merangsang dan memikat minat para pelajar untuk terus belajar. Di samping itu, persekitaran fizikal serta sosial pelajar juga mempengaruhi arah pendidikan dan pengajian mereka,” kata beliau.
Dr Ahmad Fakhruddin berkata demikian sebagai mengulas berkenaan laporan Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ yang memberi gambaran membimbangkan terhadap sistem pendidikan Malaysia.
Laporan berkenaan yang disiarkan oleh media tempatan menyatakan, Malaysia mengeluarkan perbelanjaan besar untuk pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK), namun pembelajaran para penuntut negara ini masih ketinggalan berbanding jangkaan.
Malah, dakwa laporan tersebut, 58 peratus pelajar di negara ini didapati mahir membaca menjelang akhir darjah lima, di mana situasinya jauh lebih teruk berbanding rakan serantau, Vietnam iaitu 34 peratus walaupun sumber negara tersebut lebih rendah.
Ahli Parlimen Kuala Kedah itu justeru berpandangan, hasil dapatan kajian ini hendaklah menjadi ‘wake up call’ kepada pihak KPM sendiri untuk lebih serius dalam menangani isu-isu pendidikan negara.
“Dapatan kajian itu juga menyebut ketidakcekapan penggunaan masa yang dihadkan kepada pelajar iaitu 12.5 tahun di sekolah, sedangkan yang betul-betul digunakan untuk belajar adalah 8.9 tahun. (Itu) Masa ataupun tempoh yang disebut di dalam kajian itu tanpa memasukkan lagi kelemahan sistem pendidikan awal kanak-kanak,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu pada pandangannya, kajian tersebut adalah menepati realiti praktikal sistem pendidikan di Malaysia di mana pasti ada masalaj apabila seramai 14,858 pelajar atau 3.8 peratus daripada 388,832 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022.
Malah permasalahan itu ujarnya, diikuti dengan kemelesetan jumlah pelajar yang mengambil jurusan sains tulen yang berada di bawah paras 15.2 peratus di dalam SPM, sekali gus mengakui ealiti di lapangan sektor pendidikan sebenarnya adalah jawaban kepada dapatan kajian Bank Dunia tersebut.
“Oleh itu, bingkas dan kerja. Jangan syok sendiri kerana banyak peruntukan bajet negara dihala ke arah bidang pendidikan,” simpul beliau. – HARAKAHDAILY 30/4/2024
‘Wake-up Call’ untuk KPM, jangan syok sendiri!
- Advertisement -