Tanam satu pokok buah-buahan setiap rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyarankan pada masyarakat Kelantan supaya menanam sekurang-kurangnya satu satu pokok buah-buahan di setiap rumah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mudah-mudahan dengan kaedah itu dapat memberi manfaat kepada semua anggota keluarga.

“Dengan usaha ini diharapkan kita dapat memberi galakan kepada semua masyarakat supaya melibatkan diri dan keluarga dalam pertanian dan menghasilkan makanan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Apo Kobar Pok Tani (Kapok) Peringkat DUN Demit, di sini. Hadir sama pada majlis itu, ADUN Demit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.

Sebanyak 100 pokok Nangka J33 (nangka madu) dan mangga harumanis telah disampaikan kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada petani, pekebun kecil, suri rumah dan asnaf.

Menurutnya, program Kapok diwujudkan untuk memberi rangsangan kepada masyarakat kampung agar sentiasa minat bertani serta menanam pokok buah-buahan sama ada di kebun atau sekitar kediaman.

Beliau berharap masyarakat kampung bersama kerajaan negeri untuk menjayakan program berkenaan demi kepentingan mereka sendiri pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 18/5/2024

- Advertisement -