Malaysia kini ‘red flag’, perlu bertindak segera

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor mendesak agar penjelasan dan tindakan dibuat segera oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap segala isu yang berkait dengan keselamatan serta keharmonian negara.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, isu terbabit kini merupakan tanda ‘red flag’ (senario berbahaya) yang perlu disiasat bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan.

- Advertisement -

“Belum selesai kes penyerang Harimau Malaya, Faisal Halim disimbah asid, timbul pula isu serangan Balai Polis Ulu Tiram dan pencerobohan dua lelaki berparang ke Istana Negara.

“Lebih memilukan apabila insiden sebegini diurus secara semberono sehingga menimbulkan kegusaran ramai berkenaan kemunculan semula Jemaah Islamiyah (JI) yang kemudian dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),”  katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terbaharu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dilaporkan menerima kertas ugutan bunuh bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.

“Tidak cukup dengan itu, pertelingkahan berkenaan status UiTM sebagai institusi pendidikan buat Bumiputera terus berulang dan dicabar secara terbuka.

“Kemudian pada 18 Mei, seperti menjolok sarang tebuan, kita digemparkan dengan majlis memperingati tragedi rusuhan kaum 13 Mei di kawasan perkuburan khas serta kewujudan parti liar di dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu (KTM),” ujarnya.

Beliau mempersoalkan, adakah perkara sebegini yang hendak dibina oleh Kerajaan Madani?

“Di manakah Menteri-Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara? Sudah jadi huru-hara begini, masih mahu berdiam diri?

“Segala isu ini terpampang jelas di media-media utama dan menjadi tatapan harian rakyat yang bimbang dan kecewa. Mampukah rakyat bertahan dengan keadaan begini sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?” tegasnya. 

Justeru, katanya, rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu perlu bangkit bersatu demi menghentikan segala perkara yang begitu kucar-kacir ini. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -