Solar: Sejauh mana syarikat bumiputera didahulukan?

Senator Dato' Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Husain Awang menimbulkan persoalan berhubung sejauh mana langkah kerajaan mendahulukan syarikat bumiputera untuk pemasangan solar di premis kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, ia selaras dengan aspirasi bumiputera untuk terlibat dalam sektor peralihan tenaga.

“Sejauh mana usaha dan langkah kerajaan dalam membantu atau mendahulukan syarikat bumiputera untuk pemasangan solar di premis kerajaan selaras dengan aspirasi bumiputera untuk lebih terbabit dalam sektor peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Dewan Negara, hari ini.

Akmal Nasrullah menjelaskan, satu unit khusus akan diwujudkan bagi meneliti perkara tersebut.

“Berkaitan dengan peluang kepada pemain industri daripada kumpulan bumiputera, sememangnya di peringkat PETRA berhasrat mewujudkan satu unit khusus untuk meneliti perkara ini.

“Ini susulan juga dengan komitmen yang diberikan ketika Kongres Bumiputera tempoh hari, yang mana sememangnya ini merupakan satu industri yang baru dan kita kena pastikan juga peluang itu dibuka juga kepada pemain industri di kalangan bumiputera,” katanya.

Dalam soalan asal, Dato’ Husain meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status terkini pemasangan panel solar di bangunan Parlimen dan pejabat kerajaan.. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -